Malaysia Berita

Akhyar lantik ejen, intai kelab Jepun dan Thailand

Pemain muda sensasi Kedah dan Harimau Muda, Akhyar Rashid telah melantik ejen untuk mengintai peluang untuk bermain bersama kelab di Jepun dan Thailand untuk mengembangkan lagi kerjayanya sebagai pemain bola sepak.

Selepas mempamerkan aksi cemerlang  bersama Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad di temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang bulan lalu, persembahan pemain berumur 19 tahun ini mula menarik perhatian beberapa kelab luar negara.

Ejen yang telah dilantik oleh Akhyar pula mengesahkan bahawa mereka sedang berusaha untuk merealisasikan impian pemain ini untuk beraksi di luar negara. Hal ini disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Marquee Management Sdn Bhd, Wan Mohd Anwari Wan Amran.

“Selaku ejen dilantik Akhyar, saya berharap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dapat memberikan kerjasama dan melepaskan pemain jika ada mana-mana kelab dari luar negara berminat mendapatkan khidmatnya.”

“Kami akan menghantar Akhyar bermain secara ‘pinjaman’ kerana dia masih mempunyai kontrak setahun bersama KFA,” katanya.

Berikutan penjelasan yang diberikan oleh Wan Mohd Anwari Wan Amran, situasi tersebut mirip dengan Shahrel Fikri yang bermain bersama kelab Thailand, Nakhon Ratchasima. Beliau masih lagi mempunyai kontrak bersama PKNP FC namun berhijrah ke Liga Thai dengan terma ‘pinjaman’ sehingga tamat musim ini.

Langkah tersebut pastinya membuka mata dan memberi inspirasi kepada Akhyar Rashid dan juga pemain muda lain untuk berhijrah demi mengembangkan kerjaya mereka ke peringkat lebih tinggi. Sehingga kini, pemain sayap ini belum menerima tawaran daripada mana-mana kelab luar negara.

Pada masa yang sama, Akhyar kini sedang menjalani latihan pusat bersama skuad senior dibawah kendalian Tan Cheng Hoe bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Chinese Taipei dan Kemboja pada 7 & 10 September ini.