Tak nak seri lagi.
Itulah yang diinginkan oleh Pahang selepas mereka masih belum mencatat sebarang kemenangan di laman sendiri dalam saingan Piala Malaysia 2018.
Pahang seri 1-1 dengan Sabah dalam perlawanan pertama mereka dan kemudian seri 0-0 dengan PKNP dalam perlawanan terakhir mereka.
Namun, setakat ini itu tidak menjadi masalah kerana Pahang juga masih belum tewas selepas empat perlawanan dan mengumpul lapan mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Selangor di Shah Alam dan 1-0 ke atas PKNP di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Pemain pertahanan Pahang, Zubir Azmi mahu pasukannya mencatat kemenangan di tempat sendiri dalam pertemuan bertemu Selangor hari Sabtu ini bagi membolehkan mereka layak ke suku akhir tanpa perlu menunggu perlawanan terakhir bertemu Sabah.
“Sepatutnya, kami boleh meraikan kejayaan layak ke suku akhir jika menewaskan PKNP tetapi gagal berbuat demikian dan terpaksa menunggu pertemuan dengan Selangor.
“Saya harap dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, kami tidak lagi mempersia-siakan peluang yang ada walaupun Selangor pasti mahu menebus kekecewaan mereka,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.
Pahang kini unggul di takhta Kumpulan D dengan lapan mata, satu mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Sabah yang memungut tujuh mata tetapi kurang satu perlawanan.
Pahang masih belum dikira selamat kerana PKNP dan Selangor juga masih boleh layak jika mereka menang baki semua perlawanan mereka dan Pahang tewas baki perlawanan mereka.