Piala Malaysia Berita

Dollah Salleh: Ketumpulan barisan serangan merisaukan

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh melahirkan kerisauannya atas ketumpulan barisan serangan Tok Gajah sejurus tamat perlawanan menentang PKNP FC yang lalu.

Dalam aksi tersebut, Pahang sekadar seri 0-0 walaupun beraksi di laman sendiri, Stadium Darul Makmur, Kuantan. Keputusan tersebut jelas mengecewakannya kerana Pahang berpeluang untuk menempah tiket awal ke suku akhir jika mencatatkan kemenangan.

Pada kejohanan Piala Malaysia kali ini, Pahang dilihat begitu sukar untuk menjaringkan gol. Hanya ketika menentang Selangor sahaja, skuad Tok Gajah berjaya menjaringkan 2 gol.

“Jika dilihat rekod terdahulu di laman sendiri, kita mampu untuk menjaringkan lebih daripada dua gol tetapi segala-galanya berubah disebabkan penyudah tumpul.”

Ketiadaan pemain import daripada Brazil, Patrick Cruz jelas dirasai oleh Pahang menurut Dollah Salleh.

“Ketiadaan Patrick Cruz begitu dirasai pasukan untuk mengetuai jentera hadapan dan berharap dia cepat pulih daripada kecederaan untuk beraksi dalam baki dua perlawanan bertemu Selangor dan Sabah nanti,”

Namun begitu, Pahang seharusnya berbangga dengan prestasi barisan pertahanan mereka. Ini kerana, mereka hanya melepaskan 1 gol sahaja setakat 4 perlawanan yang mereka hadapi. Ini bermakna mereka telah merekodkan 3 kali ‘clean sheet’ dalam saingan Piala Malaysia 2018.

Pahang kini menghuni tangga pertama Kumpulan D dengan 8 mata dan bakal menghadapi 2 perlawanan akhir kumpulan dengan menentang Selangor di Kuantan dan Sabah di Stadium Likas.