Bapa Safawi, Rasid Sulong berasa cukup berbangga pesanannya membuahkan hasil sehingga anaknya berjaya menjaringkan dua gol untuk menumpaskan Korea Selatan buat pertama kali selepas hampir 40 tahun melakukannya.
Katanya, dia bangga apabila pesanan kepada Safawi untuk menyumbat seberapa banyak gol membuahkan hasil.
Malah, beliau sempat menunaikan permintaan anaknya iaitu menunaikan solat hajat selepas waktu Asar petang tadi, sambil berdoa Allah selamatkan pasukan negara dan menang dalam semua perlawanan.
“Safawi ada hubungi saya kira-kira jam 3 petang semalam. Dia minta saya doakan dan buat solat hajat untuk kemenangan pasukan negara dalam perlawanan lawan Korea Selatan.
“Sebelum memutuskan perbualan, saya sekali lagi berpesan kepadanya supaya menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh,” katanya kepada Berita Harian.
“Saya bersama isteri, Salemah Abu Bakar serta anak dan menantu menyaksikan perlawanan itu dari awal hingga akhir.
“Riuh rendah rumah kami sepanjang perlawanan mencemaskan itu dan paling riuh ketika Safawi dapat menjaringkan gol.
“Syukur dan syabas buat pasukan bola sepak negara yang berjaya menewaskan Korea Selatan.
“Sapawi membanggakan saya dan negara serta menggembirakan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau juga berharap dan akan terus berdoa pasukan negara akan terus menang dalam perlawanan seterusnya.
“Kami seisi keluarga dan tentunya seluruh rakyat Malaysia mahu negara bermain dengan cemerlang dan menjadi juara pada kejohanan ini,” katanya.