Liga Super Malaysia Berita

Nidzam Adha direhatkan

Akhirnya pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merehatkan Ketua Jurulatih Kedah, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff ekoran prestasi pasukan yang tidak memberangsangkan sepanjang saingan liga musim ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, keputusan itu dibuat hasil satu mesyuarat pengurusannya petang semalam.

Katanya, Penolong Ketua Jurulatihnya, Azzmi Aziz akan memangku jawatan tersebut sehingga tamat saingan Unifi Piala Malaysia.

“Beliau (Nidzam) akan diberikan beberapa tugasan lain sehinggalah kontrak tamat.

“Pihak pengurusan merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih buat Nidzam Adzha di atas sumbangan khidmat dalam menerajui pasukan menjuarai Piala FA dan Naib Johan Piala Malaysia pada musim 2017,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Nidzam Adzha dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan Kedah pada April lepas setelah pengendali dari Sepanyol, Ramon Marcote direhatkan juga disebabkan prestasi yang merudum.

Sepanjang kempen Piala Malaysia ini, Lang Merah Kedah masih gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila sekadar seri 0-0 dengan Kelantan seterusnya teruk dibelasah Johor Darul Ta’zim 5-1.

Kedah akan bertemu MIFA di Stadium Darul Aman, malam ini.