Malaysia Berita

Tidak boleh fokus kepada Son Heung-min sahaja -Ong Kim Swee

Datuk Ong Kim Swee tidak mahu para pemainnya memberikan fokus yang terlalu banyak kepada bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung-min sebaliknya mereka perlu mengutamakan kekuatan secara berpasukan yang ditonjolkan oleh Korea Selatan ketika ini.

Katanya, Korea Selatan sudah tentunya merupakan pasukan pilihan dan memiliki kekuatan di semua posisi malah pemainnya yang berada di bangku simpanan adalah berkualiti tinggi seperti yang ditunjukkan ketika mem­belasah Bahrain 6-0.

“Kita tahu kualiti yang dimiliki oleh Korea Selatan berada di tahap yang berbeza kerana semua 20 pemain yang mereka bawa ke temasya kali ini memiliki kualiti yang seimbang.

“Meskipun mereka turut mempunyai pemain hebat seperti Son Heung-min tetapi saya tidak mahu terlalu fokus terhadap kawalan individu terutamanya selepas mereka menang besar ke atas Bahrain.

“Walaupun menang bertemu Kyrgyzstan, kali ini tugas lebih mencabar, jadi kita perlu harungi perlawanan dengan penuh disiplin.

“Pada masa yang sama, kita tidak boleh lupakan kekuatan kita dan bermain secara positif seperti perlawanan bertemu Kyrgyzstan,” katanya.

Di atas kertas, Korea Selatan merupakan pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan E namun tiada yang mustahil jika Malaysia menunjukkan aksi menakjubkan pada Kejohanan Bawah 23 AFC di China pada Januari lalu.

Mengulas lanjut, Kim Swee menumpukan aspek serangan balas pantas selain memperkemaskan benteng pertahanan bagi mengelakkan gawang negara dibolosi.

“Bagi saya, tiada yang mustahil dalam bola sepak cuma beberapa perubahan aspek taktikal perlu dilakukan dari segi serangan balas pantas,” katanya.

Kim Swee juga mengesahkan bahawa perubahan akan dilakukan terhadap kesebelasan pasukan kerana beberapa pemain termasuk Dominic Tan dan penye­rang Akhyar Rashid me­ngalami kecederaan ringan.

“Saya akan teliti dahulu tahap kecergasan mereka hingga saat terakhir kerana enggan mengambil sebarang risiko ke atas pasukan, jika cergas mereka akan beraksi.

“Pemain perlu terus fokus dan sedar bahawa hanya satu mata diperlukan untuk melayakkan mereka ke pusingan seterusnya,” katanya.