Liga Super Malaysia Berita

Jurulatih Kedah bakal dipecat?

Status ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff nampaknya akan diumumkan oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada hari Jumaat ini.

Ketiadaan Nidzam sewaktu latihan pasukan yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Alor Setar sejak dua hari lalu turut menjadi tanda tanya dan mengundang persoalan sama ada berlaku sebarang pertukaran atau perubahan dalam barisan kejurulatihan skuad Lang Merah.

Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali berkata, pihak pengurusan KFA hanya akan memutuskan kedudukan ketua jurulatih itu pada satu mesyuarat yang akan diadakan di Alor Setar termasuk membincangkan hal-hal semasa dan perancangan persatuan itu.

“Kita akan menentukan kedudukan Nidzam selaku pengendali utama pasukan serta fokus terbaik bagi pasukan yang kini berjuang untuk saingan Piala Malaysia musim ini.

“Buat masa ini kita tak dapat memaklumkan apa apa jawapan selain menunggu keputusan yang akan ditentukan pada mesyuarat hari Jumaat ini,” katanya kepada Berita Harian.

Latihan harian pasukan Kedah yang dijalankan di padang latihan SSAH sejak Isnin lalu sedang dikendalikan oleh Penolong Ketua Jurulatih, Azzmi Ab. Aziz.

Menurut Khamal lagi, isu khidmat penyerang import Paulo Rangel yang tidak beraksi pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Jumaat lalu juga akan diputuskan dalam mesyuarat tersebut.

“Buat masa ini pihak KFA belum membuat apa-apa pengumuman berkaitan keputusan isu yang dikaitkan ini, namun saya yakin KFA akan memutuskan perkara berkenaan selepas membuat penilaian dengan sebaik mungkin,” katanya.