Malaysia Berita

Sukan Asia 2018: Ong Kim Swee turunkan kesebelasan terbaik

Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee akan menurunkan kesebelasan terbaiknya menentang Kyrgyzstan hari ini bagi mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pembukaan Sukan Asia 2018.

Katanya, kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk mendapatkan kemenangan memandangkan Malaysia sudah lama tidak bertemu Kyrgyzstan sudah lama tidak bertemu dalam mana-mana kejohanan sekali gus sukar membaca rentak yang bakal digunakan pihak lawan.

Disebabkan itu, bagi memastikan setiap peluang dimanfaatkan dengan baik dalam perlawanan tersebut maka hanya yang terbaik akan diturunkan pada perlawanan hari ini.

“Ini perlawanan yang penting, kita harus turunkan pemain terbaik, tak ada istilah ambil mudah. Saya jangka perlawanan sengit dan penting untuk kita mendapat keputusan yang baik.

“Setiap perlawanan kita inginkan kemenangan, saya tak letak sasaran sama ada mahu satu atau tiga mata pada perlawanan tertentu, sebaliknya yang penting kita dapat keputusan positif untuk layak ke peringkat seterusnya,” katanya kepada Berita Harian.

Skuad B-23 akan memulakan kempen Sukan Asia 2018 dengan semangat tinggi selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan persahabatan minggu lalu.

Sebelum ini, skuad bola sepak meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke suku akhir Sukan Asia 2018.

Ini ujian kedua terbesar buat Ong Kim Swee selepas membawa pasukannya mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.

Empat tahun lalu di Incheon, Malaysia terkandas di peringkat kumpulan selepas hanya menang sekali ke atas Laos 4-0 dan tewas 0-3 di tangan Korea Selatan dan Arab Saudi.