Malaysia Berita

Saya baru nak balik, tiba-tiba dipanggil semula-Rodney Celvin Akwensivie

Rodney Celvin Akwensivie seakan tidak percaya apabila kembali tersenarai untuk beraksi dalam Sukan Asia 2018.

Nama pemain pertahanan PKNS FC itu pada mulanya digugurkan oleh jurulatih skuad bola sepak bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee, namun dipanggil semula bagi menggantikan Danial Amier Norhisham yang mengalami kecede­raan.

Kata Rodney, ketika menerima panggilan tersebut beliau sudahpun mengemas barangan peribadinya untuk pulang ke rumah tetapi kini dalam perjalanan untuk beraksi pada temasya sukan kedua terbesar di dunia.

“Saya menerima panggilan pada pukul 8 pagi dan pada waktu itu saya perlu sertai PKNS untuk melakukan persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia.

“Saya rasa seperti bermimpi sebab baru semalam nama saya digugurkan dan hari ini dipanggil semula.

“Kalau diikutkan, saya tidak percaya dapat dipanggil balik, namun saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bersama pa­sukan.

“Ini peluang untuk saya buktikan sesuatu kepada pasukan. Kalau diberi peluang bermain saya akan beri aksi terbaik buat negara dan penyokong,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rodney merupakan pemain kelahiran Sarawak yang memiliki darah kacukan Bidayuh-Ghana.

Mengulas lanjut, beliau sedar dirinya perlu segera menyesuaikan diri dengan taktikal Kim Swee kerana ini kali pertama beliau berada di bawah pimpinan jurulatih tersebut.

Sementara itu, pemain Felda United, Danial Amier mengakui amat kecewa selepas namanya terpaksa disingkirkan pada saat akhir walaupun sudah menjalani proses pemulihan.

“Apabila tidak disenaraikan, memang sedihlah, kecewa sebab sasaran saya sejak awal mahu ber­aksi dalam Sukan Asia untuk mencari pengalaman baharu,” katanya.