Liga Super Malaysia Berita

Bolasepak Malaysia perlu berhenti harapkan dana kerajaan

Isu tunggakan gaji yang membelenggu kebanyakan pasukan dalam liga tempatan tidak akan selesai selagi pasukan-pasukan tersebut masih bergantung kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan dana.

Bekas jurulatih Melaka, Mat Zan Mat Aris berkata, beliau kesal dengan apa yang berlaku ke atas Melaka United baru-baru ini sambil menyatakan bahawa kebanyakan pasukan belum mampu berdiri di atas kaki sendiri walaupun bola sepak negara sudah beralih ke era profesional sejak lebih 20 tahun yang lalu.

Beberapa pasukan negeri seperti Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis turut berdepan masalah yang sama apabila kerajaan negeri masing-masing tidak memberi bantuan atau mendapat peruntukan yang tidak mencukupi.

Mat Zan juga menyalahkan sikap berbelanja lebih daripada kemampuan turut menjadi punca beberapa pasukan berdepan dengan kemelut kewangan.

“Bila terlalu bergantung kepada kerajaan, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Contohnya, apabila kepemimpinan negeri tidak senada dengan cita rasa politik dengan pemimpin persatuan bola sepak, dana tidak disalurkan.

“Begitu juga bila berlaku pertukaran pucuk pimpinan negeri, sedikit sebanyak ia tetap mengganggu perjalanan organisasi bola sepak negeri itu termasuk membabitkan soal kewangan.

“Justeru sudah sampai masanya pasukan bola sepak kita diswastakan sepenuhnya tanpa bergantung kepada kerajaan negeri. Mereka perlu menjadi seperti sebuah syarikat perniagaan yang mencari modal serta mengusahakan dana sendiri,” katanya kepada Berita Harian.

Pada masa yang sama, Mat Zan menyeru kepada syarikat perniagaan terkemuka tempatan agar turut tampil memainkan peranan dengan menaja pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

“Kita mempunyai banyak syarikat korporat di negara ini, ada antaranya menaja sukan antarabangsa. Mengapa tidak mereka mengagihkan sedikit dana itu kepada pasukan bola sepak kita. Setiap syarikat boleh ambil satu pasukan.

“Saya yakin jika setiap pasukan mempunyai sumber kewangan yang kukuh seperti JDT dan diurus pula oleh orang yang benar-benar berjiwa bola sepak seperti TMJ, masalah kewangan tidak akan menjadi bebanan lagi.

“Setiap pasukan perlu bijak menguruskan kewangan, berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan bukan keinginan.

“Masalahnya sekarang setiap pasukan cuba mengikut JDT, membayar gaji pemain terlalu mahal sedangkan mereka tidak mempunyai sumber kewangan seperti JDT. Jadi, eloklah ikut kata orang-orang tua, ‘ukur baju di badan sendiri’,” katanya.