Malaysia Berita

Datuk Ong Kim Swee bersedia dengan segala kemungkinan di Bandung

Datuk Ong Kim Swee adalah antara orang yang paling berpengalaman jika bercakap mengenai membawa pasukan negara ke Indonesia. Dia sudah tahu segala macam kesukaran yang bakal dihadapi oleh skuad negara ekoran perseteruan yang cukup hangat di antara Malaysia dan Indonesia dalam sukan bolasepak. Dia sudah merasainya pada tahun 2011 ketika Sukan SEA dan kini dia juga bersedia dengan segala macam kepayahan yang mungkin dilalui skuad negara.

Selepas melihat apa yang berlaku kepada pasukan Vietnam, Kim Swee sudah bersedia untuk merangka pelan alternatif jika ada sebarang masalah yang berlaku.

“Memang kita mengharapkan penganjuran yang cukup baik, kita tahu pihak tuan rumah Indonesia banyak melakukan perubahan dari segi persiapan dan saya harap tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini dari segi jadual latihan, padang latihan,” kata Kim Swee seperti dilaporkan Berita Harian.

“Di sini kita perlu ada pelan kedua, pelan B atau pelan C jika berlaku tiada padang untuk kita berlatih, kita perlu mencari alternatif lain.”

Pasukan Vietnam sebelum ini dilaporkan terpaksa berlatih di jalan tar di tempat penginapan mereka. Namun, ada pihak yang menjelaskan bahawa ia berlaku kerana pihak pengurusan pasukan Vietnam enggan berlatih di padang latihan yang dibenarkan.

Malaysia akan memulakan aksi bolasepak Sukan Asia esok menentang Republik Kyrgyzstan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.