Malaysia Berita

Sukan Asia 2018: Hadi Fayyadh sah ke Jakarta, Khatul dan Rodney digugurkan

Jurulatih pasukan B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan kesemua 20 pemain untuk senarai akhir bagi saingan Sukan Asia 2018.

Berita baik buat negara, Hadi Fayyadh Abd Razak yang baru pulang daripada menyertai sesi percubaan dengan kelab Liga Divisyen Dua Jepun, Roasso Kumamoto dipanggil untuk memperkuatkan pasukan.

Pada masa yang sama, dua pemain lagi terpaksa digugurkan iaitu penjaga gol, Khatul Anuar Jalil dan pertahanan tengah, Rodney Celvin Akwensivie.

“Ini senarai terbaik kita dan saya percaya semua pemain yang disenaraikan mampu menggalas tugas di mana juga mereka diletakkan dalam posisi yang ditetapkan. Kemasukan Hadi juga memberi banyak ruang di bahagian serangan,” kata Ong Kim Swee.

Meskipun pasukan B-23 baru sahaja menghadapi insiden pergaduhan antara pemain dan pegawai Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ong memberi jaminan bahawa para pemainnya hanya fokus kepada saingan Sukan Asia buat masa ini.

“Pemain tidak lagi menumpukan apa yang sudah berlalu, yang penting mereka kekal fokus dengan latihan dan tujuan utama mereka selepas ini. Kita tak perlu membangkitkan isu yang sudah lalu.

“Kita kena siap sedia untuk perlawanan pertama Rabu ini. Itu terpulang kepada AFC untuk mengendalikan kes ini,” katanya.

Malaysia akan berdepan Kyrgyzstan bermula Rabu ini sebelum bertemu juara bertahan Korea Selatan pada 17 Ogos dan akan mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan menentang Bahrain pada 20 Ogos.

SENARAI PEMAIN KEBANGSAAN B-23

PENJAGA GOL: Haziq Nadzli, Ifwat Akmal Chek Kassim

PERTAHANAN: Dominic Tan, Adam Nor Azlin, Adib Zainudin, Rizal Ghazali, Irfan Zakaria, Syazwan Andik Ishak, Syazwan Zaipol Bahari, Tommy Mawat Bada

TENGAH: Baddrol Bakhtiar, Faisal Abdul Halim, Danial Amier Norhisham, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Syahmi Safari

PENYERANG: Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Hadi Fayyadh, R. Kogileswaran