Malaysia Berita

Mohamadou Sumareh bakal jadi pemain naturalisasi pertama Malaysia?

Nampaknya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah terbuka hati untuk memberi peluang kepada pemain naturalisasi beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Walaupun masih di peringkat awal, nama pemain yang harus berada dalam senarai kesebelasan utama skuad Harimau Malaya ketika ini sudah pastinya pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh.

Pemain berusia 23 tahun itu sudah mendapat kerakyatan Malaysia sejak bulan April lalu dan memiliki rekod cemerlang sepanjang berada di Malaysia sejak membuat penampilan pertama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013 dan kini beraksi untuk Pahang.

Sumareh sendiri bersedia dipanggil untuk memperkuatkan pasukan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe khususnya bagi kempen Piala AFF pada bulan November akan datang.

Malah katanya, beliau sudah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan sudah menganggap Malaysia sebagai negara pertamanya.

“Jika saya mendapat tawaran mewakili skuad kebangsaan, ia satu penghormatan dan saya akan cuba membantu sedaya upaya saya.

“Saya membesar di sini, karier bola sepak saya juga bermula di sini, mungkin ada pemain luar yang telah dipanggil beraksi dengan skuad kebangsaan walaupun sekejap sahaja berada di sini tapi saya sudah lama.

“Jadi jika ada orang cakap pemain naturalisasi tidak ada semangat pada saya ia tidak tepat. Jika saya mensia-siakan peluang ini, saya bukan sahaja mengkhianati Malaysia, tapi mengkhianati diri saya sendiri.

“Saya memberikan komitmen 100 peratus bila bersama kelab, kenapa saya tak boleh beri 120 peratus komitmen bersama pasukan kebangsaan.

“Saya tahu tekanan sebagai pemain naturalisasi pasti berat tapi saya adalah pemain yang sentiasa mahukan cabaran. Tekanan akan membuatkan saya lebih baik,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini, hanya pemain berdarah campuran yang boleh mewakili skuad kebangsaan antaranya Matthew Davies, Natxo Insa, Brendan Gan dan Khair Jones.