Liga Super Malaysia Berita

Meskipun tewas, Nazliazmi yakin Selangor akan selamat

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Mohamad tetap mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa pasukannya akan terus kekal di Liga Super walaupun tewas 2-3 kepada Melaka United baru-baru ini.

Baginya, baki dua perlawanan menentang PKNP FC dan Terengganu bakal membuahkan mata berharga sekali gus mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana.

Malah secara matematiknya, Negeri Sembilan dan Kelantan yang jauh berada di dua tangga terbawah dilihat tidak begitu mencemaskan The Red Giants berdasarkan kelebihan mata dan jaringan setakat ini.

Mengulas mengenai kekalahan kepada Melaka, beliau berkata kelekaan saat akhir membawa padah buat pasukan itu walaupun beraksi dengan baik dan berjaya menguasai permainan.

“Tahniah kepada beberapa pemain muda yang menunjukkan tahap permainan matang walaupun ada yang pertama kali diturunkan.

“Penjaga gol muda Muhamad Haziq Ridzwan yang juga diturunkan buat pertama kali turut bermain cukup baik dengan keyakinan tinggi walaupun berdepan pemain berpengalaman dan penyerang import tuan rumah. Saya akan menurunkannya dalam dua perlawanan selepas ini,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam perlawanan itu, gawang Selangor bocor tiga kali pada separuh masa kedua menyebabkan mereka gagal membawa pulang sebarang mata walaupun berjaya mendahului dua kali sebelum ini.

Namun Nazliazmi tetap memuji persembahan penjaga gol muda itu yang tidak gugup dan masih meyakinkan selepas diberi peluang untuk membarisi kesebelasan utama pasukan.

Berbaki dua perlawanan, Selangor dan Kuala Lumpur kini berkongsi 21 mata dengan masing-masing di tangga kesembilan dan ke-10 dan berada dalam keadaan yang lebih selamat untuk kekal di Liga Super berbanding Kelantan dan Negeri Sembilan yang masing-masing mengumpul 15 mata di kedudukan ke-11 dan ke-12 Liga Super.