Luar Negara Eropah

Real Madrid buat kesilapan besar jual Cristiano Ronaldo

Bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon percaya tindakan Real Madrid melepaskan Cristiano Ronaldo ke Juventus merupakan satu kesilapan yang besar dan boleh menjejaskan peluang kelab gergasi Eropah itu untuk memenangi kejuaraan pada musim ini.

Menurut Calderon, Ronaldo telah menjaringkan 44 gol untuk Real musim lalu dan beliau percaya masih banyak yang boleh disumbangkannya terutamanya kepada Juventus dari segi kemampuannya.

“Ia kesilapan yang sukar diterima dan pastinya Real Madrid perlu membayar harga yang mahal untuknya,” kata Calderon.

“Ramai yang bercakap mengenai Kylian Mbappe dan Neymar, tetapi mereka masih jauh untuk mencapai ke tahap Ronaldo.

“Ia menjadi pembelian bersejarah sembilan tahun lalu dan klausa pelepasan Ronaldo bernilai 1 bilion pound yang diletakkan ke atasnya membuktikan beliau bukan untuk dijual.

“Florentino Perez akan membayar harga yang mahal di atas kesilapannya ini.

Cristiano adalah pemain nombor satu dunia, ini adalah kesilapan yang teruk,” katanya.

Pemain antarabangsa Portugal itu memilih untuk meninggalkan Santiago Bernabeu dengan perjanjian 105 juta euro selepas hampir 10 tahun menetap di Madrid.

Sebelum ini, Ronaldo dilaporkan akan meninggalkan Real selepas permintaan kapten Portugal itu yang ingin mendapatkan kenaikan gaji berlipat kali ganda enggan dipenuhi oleh lembaga pengarah kelab Madrid tersebut.

Beliau dikatakan mahu menyamai nilai gaji yang diterima bintang Barcelona, Lionel Messi iaitu bernilai 35 juta pound semusim, malah dikhabarkan Neymar di Paris Saint-Germain turut menerima bayaran yang lebih tinggi daripadanya. – Agensi