Pemain pertahanan Malaysia B-19, Shivan Pillay Asokan mendedahkan perasaannya ketika pertama kali berdepan insiden keganasan penyokong Indonesia terhadap pasukan Malaysia sebaik sahaja tamat perlawanan.
Mereka diserang oleh penyokong tuan rumah dengan balingan botol minuman dan batu sehingga memaksa mereka berlari ke bilik persalinan bagi mendapatkan perlindungan.
Menurut Shivan, apa yang berlaku adalah pengalaman menakutkan buat dirinya dan pemain lain yang merasainya buat pertama kali sebagai pemain bola sepak.
“Pemain berasa takut kerana mereka membaling botol minuman, batu ke arah kami malah ada yang membaling botol kaca jadi memang bahaya.
“Kami terpaksa berlindung di tengah padang terlebih dahulu sehingga penyokong Indonesia keluar stadium.
“Kemudian, kami berlari masuk ke bilik persalinan dengan kawalan pihak keselamatan.
“Ketika menaiki bas untuk pulang ke hotel penginapan, masih ada penyokong Indonesia menunggu kami di luar stadium, mujurlah mereka tidak melakukan sebarang tindakan sebaliknya hanya bersorak kepada kami,” katanya kepada NSTP.
Insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan fokus Shivan terhadap perlawanan akhir bertemu Myanmar.
“Kami sudah lupakan insiden semalam, kami perlu bersedia untuk berdepan Myanmar.
“Ini peluang untuk kami menebus kekalahan di final tahun lalu.
“Kami tidak boleh memandang rendah Myanmar kerana mereka berjaya menyingkirkan Thailand untuk bermain di final kali ini,” katanya.
Keyakinan itu turut dikongsi seorang lagi pemain negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat.
“Ini kali pertama saya berdepan situasi cemas seperti ini.
“Penyokong Indonesia seperti tidak profesional kerana tidak boleh menerima kekalahan.
“Sebagai tuan rumah mereka sepatutnya melayan tetamu dengan baik dan tidak bertindak demikian.
“Namun kami sudah bersedia dari segi mental kerana jurulatih sudah memberi peringatan awal kepada kami.
Saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk berdepan satu lagi halangan, Myanmar di final esok,” katanya.
Malaysia B-19 akan beraksi sekali lagi di Stadium Gelora Delta Sidoarjo esok bagi pertemuan menentang Myanmar.