Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Jaringan Cavani bantu hantar Ronaldo bertemu Messi di lapangan terbang

Ramai menyangka Messi dan Ronaldo akan bertemu di suku akhir, rupanya mereka berdua akan bertemu di lapangan terbang. Dua jaringan hebat Edinson Cavani membantu Uruguay menyingkirkan juara Eropah, Portugal. Cavani membuka jaringan dengan tandukan menewaskan Rui Patricio di separuh masa pertama.

Pepe menyamakan kedudukan di separuh masa kedua, sebelum Cavani sekali lagi menjadi duri dalam daging Portugal dengan satu tendangan cantik menewaskan Patricio untuk menebus kehormatan pasukan Amerika Selatan. Keputusan akhir, Uruguay 2-1 Portugal. Ini analisis untuk perlawanan ini.

Lucas Torreira diberi kepercayaan

Selepas menunjukkan aksi matang ketika bertemu Russia, Sekali lagi Lucas Torreira terus diberi kepercayaan dalam perlawanan penting ini. Biarpun pada mulanya Uruguay kelihatan beraksi dengan formasi 4-4-2, sebenarnya mereka beraksi menggunakan formasi 'diamond' di tengah dengan Torreira akan menjadi penghubung pertahanan dan midfield. Luis Suarez dan Edinson Cavani terus diberi kepercayaan memimpin di hadapan. Dua penyerang yang cukup berbisa ini memerlukan pemain midfield lebih kreatif untuk membantu mereka menjaringkan gol. Tiada kerisauan di bahagian pertahanan dengan Gimenez dan Godin terus membentuk tembok yang kukuh.

Tiada Ricardo Quaresma 

Tiada tempat untuk penjaring gol Portugal ketika menentang Iran, Ricardo Quaresma dalam kesebelasan utama. Bernardo Silva kembali mendapat tempat dan pemain Porto, Ricardo Pereira bermain di bek kanan menggantikan Cedric. Portugal pastinya mahu pemain seperti Bernardo, Adrien Silva, William Carvalho dan Joao Mario memadatkan bahagian tengah dengan Goncalo Guedes akan banyak membantu menarik pertahanan Portugal. Dua pemain bek, Raphael dan Ricardo bagaikan menjadi pemain sayap untuk menghantar bola kepada Ronaldo. Dengan adanya Adrien, Bernardo dan Mario, William Carvalho boleh memberikan fokus lebih membantu Fonte dan Pepe di bahagian pertahanan ketika diserang. Mereka perlu menutup segala ruang daripada digunakan oleh Suarez dan Cavani.

Berhenti terlalu bergantung pada Ronaldo

Dia merupakan penjaring terbanyak dan ketua pasukan. Dia seorang pemain yang memang sangat penting untuk Portugal. Tetapi berbeza dengan Uruguay yang mempunyai Cavani dan Suarez, Portugal nampak seakan-akan cuba ada Cristiano Ronaldo untuk menjaringkan gol. Portugal kelihatan terlalu bergantung kepada Cristiano sehingga kadang kala serangan mereka menjadi perlahan dan terlalu mudah dibaca. Ada beberapa kali ketika menyerang, pemain perlu menunggu Ronaldo masuk ke dalam kotak baru boleh mereka menghantar bola. Uruguay yang sudah tahu taktik tersebut telah mengambil peluang dengan melambatkan serangan Portugal dan memberi peluang untuk pemain mereka berkampung di kawasan sendiri.

Edinson Cavani penyerang sempurna?

Dua jaringannya telah mengejutkan Portugal. Satu tandukan yang cukup tajam dan kedua satu penyudah yang tepat menewaskan Rui Patricio untuk membantu Uruguay mara ke suku akhir. Tapi apa yang membezakan Cavani dengan penyerang lain? Cavani bukan seorang penyerang yang ego. Dia berkerja keras untuk pasukan. Dalam perlawanan ini, Cavani turut dilihat turun membantu bertahan. Dia juga pandai mencari ruang dan membuat larian yang mampu mengelirukan lawan. Lihat jaringan pertamanya. Dia bermula di bahagian kanan dan menghantar kepada Suarez, di saat pertahanan lebih tertumpu kepada Suarez, dia lari ke belakang dan menanduk masuk tanpa dicabar oleh pertahanan Portugal.

Piala Dunia tanpa Messi dan Ronaldo?

Mungkinkah ini kali terakhir kita akan melihat dua pemain terbaik dunia ini beraksi di Piala Dunia? Ronaldo akan berusia 37 tahun dan Lionel Messi 36 tahun. Pastinya ini adalah kali terakhir mereka memimpin negara masing-masing di Piala Dunia. Sayang sekali kita tidak akan langsung dapat melihat Ronaldo vs Messi di Piala Dunia. Persamaan di antara kedua-dua pemain ini adalah negara mereka terlalu bergantung kepada mereka. Sudah sampai masanya Portugal dan Argentina melahirkan lebih ramai Messi dan Ronaldo.