Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Messi dineutralkan oleh trio tengah Perancis, Mbappe berapi di Kazan

Perancis menjadi pasukan yang pertama menempah tiket ke suku akhir apabila menempahkan tiket pulang buat pasukan Argentina dengan jaringan 4-3 dalam perlawanan 16 terakhir yang menghiburkan di Kazan, malam tadi.

Gol-gol Perancis dijaringkan oleh Antoine Griezmann menerusi sepakan penalti sebelum Benjamin Pavard melepaskan misil dan Kylian Mbappe menambah 2 lagi gol buat Perancis. Argentina pula membalas menerusi misil daripada Angel di Maria sebelum Gabriel Mercado menampan rembatan Lionel Messi dan Sergio Aguero melengkapkan gol saguhati buat Argentina.

Berikut merupakan hasil pemerhatian kami sepanjang perlawanan ini berlangsung tadi:

Ancaman Kylian Mbappe

Kylian Mbappe sangat efisien memberikan ancaman terhadap barisan pertahanan pasukan Argentina dalam perlawanan tadi. Buktinya, 2 sepakan percuma dan satu sepakan penalti berjaya diperoleh beliau pada awal perlawanan serta menyebabkan Marcos Rojo dan Nico Tagliafico dilayangkan kad kuning kerana menjatuhkan beliau dalam 2 daripada 3 situasi tersebut. Pada babak kedua, Kylian Mbappe melengkapkan malam gemilang beliau apabila menambah 2 gol untuk pasukan Perancis, seterusnya membawa pulang anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.

Angel Di Maria kembali

Setelah 3 perlawanan menyepi, akhirnya Angel Di Maria kembali dengan satu ‘golazo’ yang cukup membuatkan para penonton inzal melihatnya. Satu rembatan daripada luar kotak penalti melencong melepasi Hugo Lloris menuju ke penjuru kanan lubang gol Perancis, mengembalikan keyakinan warga Argentina terhadap beliau setelah dikritik kerana persembahan yang kurang mantap pada saingan peringkat kumpulan. Rembatan beliau juga memulakan mood perlawanan yang hebat pada malam tadi dengan satu lagi misil dilepaskan selepas gol tersebut, iaitu .....

Benjamin Pavard ambil teladan Nacho Fernandez

Masihkah anda mengingati gol Nacho Fernandez ketika Sepanyol menentang Portugal pada perlawanan pertama Kumpulan B? Melihatkan golazo daripada Benjamin Pavard sebentar tadi, kami percaya beliau masih mengingati dengan jelas bagaimana Nacho menghayunkan kaki beliau untuk membuat rembatan lencong yang rendah melepasi David de Gea ke dalam lubang gol pasukan Sepanyol. Bezanya? Rembatan lencong Benjamin Pavard tadi deras menuju ke penjuru atas lubang gol pasukan Argentina yang dijaga oleh Franco Armani. Gol manakah yang lebih baik? Terpulang kepada anda menilainya.

Lionel Messi dineutralkan oleh trio midfield Perancis

Lionel Messi dalam perlawanan tadi diletakkan sebagai striker tengah oleh Jorge Sampaoli. Dengan kedudukan beliau yang jelas menjadi fokal serangan pasukan Argentina, trio midfield Perancis iaitu N’Golo Kante, Paul Pogba dan Blaise Matuidi bekerjasama dengan penuh efisien untuk meneutralkan ancaman daripada Lionel Messi. Hasilnya, Messi hilang daripada radar hampir keseluruhan perlawanan, walaupun beliau berjaya menghasilkan satu hantaran akhir untuk Sergio Aguero menjaringkan gol pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Permulaan saingan kalah mati yang menyeronokkan

7 gol berjaya dihasilkan dalam perlawanan yang pertama saingan kalah mati untuk kejohanan edisi ini. Dengan Argentina gagal memanfaatkan peluang saat akhir mereka untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan sepakan yang terakhir, ia merupakan penamat yang amat bagus buat yang perlawanan yang cukup menginzalkan buat para penonton serta menetapkan mood yang baik untuk para peminat menikmati baki aksi saingan kalah mati Piala Dunia edisi kali ini.