Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Barisan kelab dengan pemain paling banyak menyinar di Piala Dunia 2018

Anda mungkin tidak sabar untuk menantikan pemenang pemain terbaik di Piala Dunia 2018 nanti.

Lebih daripada 350 pemain telah menunjukkan persembahan terbaik mereka di Russia sehingga memikat hati kita. Namun, kelab manakah yang paling banyak menyumbang pemain dengan persembahan cemerlang di Piala Dunia 2018?

Real Madrid

Barisan pemain juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah ini tampil gemilang di Russia. Nama yang tampil ke depan sudah pasti Cristiano Ronaldo, Isco Alarcon, Dani Carvajal dan Sergio Ramos (Sepanyol), ditambah dengan Casemiro dan Marcelo dalam skuad Brazil. Malah, pemain simpanan seperti Mateo Kovacic dan Nacho Fernandez turut menyinar bersama skuad kebangsaan masing-masing. Nama yang sudah tersingkir adalah penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas, yang muncul salah satu penjaga gol terbaik dalam kejohanan.

Atletico Madrid

Tidak mahu kalah dengan musuh setempat, Atletico Madrid juga mampu berbangga dengan pemain mereka. Diego Costa telah mencatat tiga gol sementara Antoine Griezmann tampil hebat bersama Perancis walaupun baru menyumbat satu jaringan. Kejutan dipamerkan oleh Lucas Hernandez yang menjadi bek sayap utama buat Les Bleus, sama seperti Filipe Luis di Brazil serta Sime Vrsaljko bersama Croatia. Nama Diego Godin dan Jose Gimenez yang masih belum dibolosi juga tidak boleh diabaikan bersama Uruguay.

Barcelona

Lionel Messi sempat dikritik hebat sebelum menjadi inspirasi utama membawa Argentina ke pusingan kedua. Philippe Coutinho dan Luis Suarez masing-masing menjadi nadi utama serangan pasukan mereka sambil Ivan Rakitic mempamer aksi hebat seperti di Barca. Jangan lupa dengan kelibat Sergio Busquets, Gerard Pique dan Jordi Alba yang menjadi pemain utama Sepanyol. Bahkan, bek simpanan, Yerry Mina, juga cemerlang bersama Colombia.

Tottenham Hotspur

Harry Kane menjadi fenomena dalam kejohanan untuk memburu kasut emas berbekalkan koleksi lima gol bersama England. Christian Eriksen menjadi nadi utama Denmark, Hugo Lloris mantap mengawasi gawang Perancis selaku kapten sambil Son Heung-min juga cemerlang selepas mencatat dua gol buat Korea Selatan walaupu gagal meneruskan kemaraan.

Manchester United

Dalam isu menampilkan pemain di Piala Dunia, Manchester United yang mempertaruhkan 11 orang pemain ketinggalan jauh berbanding musuh setempat, Manchester City, yang mempunyai 16 orang pemain. Namun, pemain-pemain United menjadi watak utama dalam pasukan masing-masing. Romelu Lukaku menjadi penjaring utama, Victor Lindelof kukuh bersama Sweden, Paul Pogba hebat di Perancis sementara Jesse Lingard mantap menyarung jersi England.

Chelsea

Penampilan buruk Chelsea di Liga Perdana Inggeris telah dilupakan apabila melihat aksi hebat Thibaut Courtois dan Eden Hazard bersama Belgium. N’Golo Kante menjadi salah seorang pemian utama Perancis setakat ini, sehingga pasukannya melayakkan diri bersama Denmark yang dibarisi oleh pertahanan, Andreas Christensen. Walaupun gagal meneruskan kemaraan, Victor Moses juga meraih pujian kerana aksi terbaik bersama Nigeria.