Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 23 Jun 2018

Jendela perpindahan adalah satu tempoh yang sering membuatkan setiap pasukan sentiasa sibuk dalam cuba memperkuatkan skuad masing-masing. Ada juga pemain yang sedang giat melakukan perbincangan untuk berhijrah ke pasukan baru.

Situasi itu pastinya membuatkan beberapa pasukan kelab di Eropah mula mengintai peluang untuk memanggil beberapa pemain menyertai mereka. Ada yang masih diperlukan majikan lama dan ada juga yang hanya menunggu masa untuk dilepaskan. Berikut adalah lima transfer rumour terhangat di Eropah daripada barisan pemain yang tidak ke Russia:

Islam Slimani

Sporting Lisbon dikhabarkan bersedia untuk menyelamatkan mimpi ngeri penyerang ini di Leicester City. Selepas mencipta rekod perpindahan kelab untuk menyertai The Foxes dengan nilai GBP29 juta dari Lisbon pada 2016, Slimani hanya mengutip 13 gol daripada 46 penampilan. Dia kemudian dipinjamkan ke Newcastlet United, namun tempoh pinjaman itu tidak menjadi seperti diharapkan apabila penyerang Algeria ini sering dihimpit masalah kecederaan. Bagaimanapun, bekas kelab Cristiano Ronaldo ini tetap berminat untuk membawanya kembali beraksi di pentas Liga Portugal.

Alvaro Morata

Selepas AC Milan, Borussia Dortmund muncul pasukan terbaru yang mengintai khidmat Morata bagi memperkuatkan pasukan mereka pada musim depan. Pemain berusia 25 tahun itu hanya mencatat 11 jaringan dalam 31 penampilan liga, dimana satu daripada jumlah itu hadir selepas perayaan Krismas. Bagaimanapun, tuntutan harga GBP45 juta yang diletakkan Chelsea mungkin membuatkan Dortmund mengalihkan perhatian kepada pemain Werder Bremen, Max Kruse.

Ever Banega

Arsenal dikatakan telah memulakan proses perbincangan dalam usaha membawa masuk pemain tengah Sevilla, Ever Banega, ke Emirates. Banega yang berusia 29 tahun muncul nama terbaru yang dikaitkan dengan perpindahan menyertai The Gunners dan faktor pengendali pasukan, Unai Emery, yang pernah bekerjasama dengan Banega ketika di Sevilla dan Valencia menjadi salah satu faktor perpindahan itu mampu disempurnakan. Dalam masa sama, ketiadaan Jack Wilshere dan Santi Cazorla sudah tentu membuatkan Emery berhasrat mencari pengganti yang sesuai.

Jerome Boateng

Manchester United telah diarahkan untuk membayar yuran perpindahan berjumlah GBP50 juta jika mahu mendapatkan khidmat pemenang Piala Dunia 2014 ini. Pertahanan Bayern Munich itu menjadi sasaran utama Jose Mourinho bagi memperkasakan barisan benteng United selepas Samuel Umtiti menandatangani kontrak baru bersama Barcelona. Boateng juga baru-baru ini telah menyatakan keinginan untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas pernah menyarung jersi seteru utama, Manchester City, sebelum berpindah ke Jerman.

Thomas Strakosha

Liverpool dikatakan semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan penjaga gol Lazio, Thomas Strakosha. Pemain dari Albania itu menjadi sasaran The Kop selepas pengendali, Jurgen Klopp, berasa agak sukar untuk memancing Alisson Becker (AS Roma) dan Jan Oblak (Atletico Madrid) ke Anfield. Strakosha dianggarkan bernilai GBP30 juta, sekaligus dilihat lebih murah berbanding dua nama di atas. Spekulasi itu dihangatkan lagi apabila Calcio Mercato mendedahkan bahawa Lazio semakin hampir untuk menandatangani penjaga gol veteran Olympiakos, Silvio Proto.