Belgium melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia dengan penuh bergaya apabila menewaskan pasukan Tunisia dengan jaringan 5-2 dalam perlawanan Kumpulan G yang berlangsung di Spartak Stadium, Moscow malam tadi.
Eden Hazard dan Romelu Lukaku masing-masing menjaringkan 2 gol manakala Michy Batshuayi menjaringkan gol kelima manakala Tunisia membalas menerusi Dylan Bronn dan Wahbi Khazri.
Berikut merupakan hasil pemerhatian kami sepanjang perlawanan tadi berlangsung:
Perlawanan menyeronokkan apabila kedua-dua pasukan saling menyerang
Angkat tangan jika anda bersetuju bahawa perlawanan tadi merupakan antara perlawanan Piala Dunia yang menyeronokkan pada edisi kali ini. Kedua-dua pasukan amat jelas sekali menggunakan pendekatan menyerang dalam perlawanan ini apabila mereka saling berbalas serangan antara mereka. Hasilnya? 4 gol berjaya dihasilkan dalam babak pertama sahaja sebelum 3 lagi gol ditambah pada babak kedua, walaupun 5 daripada 7 gol tersebut hanya melibatkan pasukan Belgium.
Belgium amat tajam ketika menyerang balas berbanding Tunisia
Selain menggunakan pendekatan menyerang, kedua-dua pasukan juga amat pantas dalam melakukan serangan balas. Namun, Belgium membuktikan bahawa mereka lebih tajam daripada pemain Tunisia dalam melakukan serangan balas apabila empat daripada lima gol mereka terhasil berpunca daripada serangan-serangan balas yang telah dilakukan oleh mereka sepanjang perlawanan tadi.
Wahbi Khazri nampak terasing daripada rakan sepasukan beliau
Pemain ini diletakkan sebagai penyerang utama dalam formasi pasukan Tunisia, namun beliau tidak dapat memberikan impak yang jelas dalam keseluruhan perlawanan ini kerana begitu terasing di bahagian atas, selain terpaksa turun sendiri ke bawah untuk mendapatkan bola. Walaupun begitu, beliau berjaya memainkan peranan dalam kedua-dua gol pasukan Tunisia apabila sepakan percuma beliau menemui kepala Dylan Bronn selain berjaya menolak masuk gol kedua pasukan Tunisia.
Romelu Lukaku menjustifikasikan jangkaan orang ramai sebagai calon pemenang Kasut Emas
Setelah menjaringkan 2 gol ketika menentang pasukan Panama, Romelu Lukaku sekali lagi mengganas dalam perlawanan ini apabila menjaringkan 2 lagi gol untuk menambah jumlah jaringan beliau dalam Piala Dunia edisi 2018 ini kepada 4 gol, meletakkan beliau sebaris dengan bintang Portugal iaitu, Cristiano Ronaldo dalam perlumbaan anugerah Kasut Emas. Menarik juga untuk diambil perhatian apabila beliau hanya memerlukan 4 cubaan sepanjang kejohanan ini untuk mencapai jumlah jaringan tersebut. Jika beliau meneruskan rentak sebegini, tidak mustahil beliau yang akan membawa pulang anugerah Kasut Emas berbanding Cristiano Ronaldo apabila tamat kejohanan Piala Dunia nanti.
Pemain-pemain tempatan Tunisia mungkin boleh dipertimbangkan oleh pasukan Liga Malaysia
Majoriti skuad Tunisia ini merupakan pemain yang beraksi dalam liga tempatan Tunisia, iaitu Tunisian Ligue Profesionnelle 1. Namun begitu, mereka menampilkan aksi-aksi menyerang yang mengujakan dalam 2 perlawanan mereka menentang pasukan England dan pasukan Belgium. Dengan status mereka sebagai pemain liga tempatan berbanding pemain seperti Wahbi Khazri dan Ellyes Skhiri, pemain-pemain Tunisia ini jika ada yang akan menyertai pasukan Liga Malaysia, mereka boleh menjadi suatu penambahbaikan yang bernilai buat pasukan, itupun jika mempunyai wang yang mencukupi.