Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Analisis: Carlos Vela dan Javier Hernandez musnahkan harapan Korea Selatan

Mexico meneruskan rentak cemerlang dengan merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia 2018. El Tri berjaya menundukkan Taeguk Warriors 2-1 di Rostov Arena.

Dalam perlawanan tersebut kedua-dua pasukan berjaya memberi ancaman kepada kubu lawan masing-masing. Namun, Mexico terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti oleh Carlos Vela.

Babak kedua bersambung dan Mexico sekali lagi berjaya menambahkan jaringan kedua menerusi Javier Hernandez. Ini juga merupakan gol ke-50 beliau untuk skuad kebangsaan Mexico.

Son memastikan Korea Selatan mendapatkan gol saguhati pada akhir-akhir minit perlawanan. Bagaimanapun, jaringan cantik tersebut tidak dapat membantu Korea Selatan yang semakin hampir untuk pulang awal daripada saingan Piala Dunia 2018 .

Berikut adalah beberapa pemerhatian kami sepanjang perlawanan ini:

Korea Selatan bermain kasar

Sepanjang perlawanan berlangsung, pemain Korea bermain dengan agak keras. Mereka sering melakukan kekasaran ke atas pemain Mexico. Terdapat juga beberapa kekasaran yang dilakukan tampak tidak perlu dan mengurangkan semangat kesukanan. Sepanjang perlawanan beberapa pemain Korea Selatan sering diberikan amaran oleh pengadil dan 4 orang pemain mereka dilayangkan kad kuning. Mereka adalah Y. G. Kim, Y. Lee, S. W. Lee dan W. Y. Jung. Dalam keadaan mereka bermain untuk mendapatkan kemenangan pertama, kekasaran yang dilakukan boleh merugikan pasukan jika ada pemain yang dilayangkan kad merah.

Ancaman Hirving Lozano

Pemain muda Mexico yang menjaringkan gol kemenangan ketika bertemu Jerman sekali lagi menjadi ancaman buat pasukan Korea Selatan. Bermain diposisi sayap, kelincahannya seringkali membuatkan pertahanan Taeguk Warriors tidak senang duduk. Larian yang pantas dan kelebihan dalam melakukan gelecekan menjadi aset utamanya dalam mengharungi perlawanan ini. Beliau berjaya melorongkan bola kepada Javier Hernandez untuk gol kedua Mexico.

Sepakan sudut yang sia-sia

Korea Selatan berjaya mendapatkan sehingga 7 sepakan sudut. Namun agak mengecewakan mereka tidak mampu melakukan sesuatu untuk menukarnya menjadi jaringan gol. Adakah mereka tidak mempunyai pemain yang mampu mengambil peluang dalam situasi seperti itu atau kurang efektif dalam situasi bola mati?

H. W. Joo nafikan peluang Mexico tambah jaringan

Antara pemain Korea Selatan yang cemerlang aksinya. Beliau dilihat menafikan beberapa percubaan menarik tepat ke arah pintu gol yang dilakukan oleh M. Layun, Hirving Lozano dan Andres Guardado. Tekaan kurang tepat ketika menghadapi penalti menjadikannya dan pasukan Korea Selatan tertekan untuk mencari gol penyamaan.

Guillermo Ochoa cemerlang

Jika dibandingkan di antara kedua-dua pasukan, kubu Mexico lebih banyak menerima serangan berbanding kubu Korea Selatan. Namun Ochoa bertindak cemerlang untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi. Beliau juga berjaya menafikan peluang Son dalam situasi satu lawan satu. Namun terpaksa akur dengan bolos satu gol melalui rembatan cantik Son dalam minit-minit akhir perlawanan.