Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Jaringan Suarez menjadi pemisah, Arab Saudi berjaya tebus maruah

Uruguay akan menyertai Rusia di peringkat 16 terakhir setelah menewaskan Arab Saudi dengan jumlah jaringan 1-0 hasil jaringan Luis Suarez yang menolak masuk bola daripada sepakan penjuru pasukan Uruguay dalam perlawanan kedua Kumpulan A yang berlangsung di Rostov, malam tadi.

Berikut merupakan hasil pemerhatian kami sepanjang perlawanan tadi:

Pelan perlawanan Arab Saudi yang memenuhkan kawasan tengah

Pasukan Arab Saudi mempunyai pelan yang jelas dalam perlawanan ini iaitu memenuhkan kawasan tengah untuk menyukarkan barisan tengah pasukan Uruguay. Mereka berjaya melaksanakan pelan tersebut dengan Uruguay banyak bergantung kepada pemain sisi mereka iaitu Cristian Rodriguez dan Carlos Sanchez untuk menjana serangan Uruguay. Namun kehilangan Taisser Al-Jassam pada lewat babak pertama sedikit sebanyak mengganggu kelancaran pelan perlawanan mereka.

Kesilapan pertahanan Arab Saudi sekali lagi mengundang padah

Berdepan dengan pasukan Rusia pada perlawanan pertama, majoriti daripada 5 gol yang dilepaskan adalah merupakan akibat daripada kesilapan barisan pertahanan dan penjaga gol pasukan Arab Saudi. Sekalipun melakukan perubahan pada kesebelasan utama pada salah seorang pertahanan tengah dan penjaga gol, kesilapan tersebut berulang sekali lagi dalam gol pertama pasukan Uruguay yang dijaringkan oleh Luis Suarez.

Pasukan Arab Saudi kurang tajam di hadapan gawang Uruguay

Pada babak pertama, kita dapat melihat barisan serangan pasukan Arab Saudi yang sebenar; mereka berjaya merencanakan dan memperoleh sejumlah peluang dalam perlawanan. Namun, aspek penyudah mereka agak tumpul dan Fernando Muslera juga sebenarnya jarang diuji dengan lebih agresif. Pada babak kedua, mereka gagal memperbaiki aspek ini dan akibatnya mereka gagal menyaingi pasukan Uruguay.

Luis Suarez akhirnya membuka akaun Piala Dunia beliau edisi kali ini

Kesilapan oleh pertahanan dan penjaga gol Arab Saudi ketika mempertahankan pasukan daripada sepakan penjuru pasukan Uruguay membolehkan Luis Suarez menolak masuk bola setelah berada pada kedudukan yang tepat. Selain berjaya membuka akaun gol beliau, beliau juga menampilkan aksi yang cemerlang apabila berada di merata padang selain berjaya menarik pertahanan Arab Saudi untuk melakukan foul ke atas beliau.

Juara Kumpulan A bakal ditentukan dalam perlawanan Rusia vs Uruguay

Dengan kemenangan pasukan Uruguay ke atas pasukan Arab Saudi ini, maka Kumpulan A telah pun mempunyai wakil 16 terakhir mereka apabila Rusia dan Uruguay telah sah layak ke pusingan kedua Piala Dunia. Namun, perlawanan ketiga yang akan menemukan kedua-dua pasukan ini sudah tentu akan menjadi perlawanan tumpuan kerana kedua-dua pasukan mahu menjadi juara kumpulan. Rusia mungkin mempunyai kelebihan dengan jumlah perbezaan jaringan yang agak besar, namun Uruguay sudah pasti mahu membuktikan status mereka sebagai pasukan pilihan dengan menjuarai Kumpulan A ini.