Jurulatih Jepun, Akira Nishino enggan meraikan kejayaan meskipun pasukannya berjaya menumpaskan Colombia 2-1 semalam, sekali gus menjadi wakil Asia pertama yang menewaskan pasukan Amerika Selatan dalam sejarah Piala Dunia.
Katanya, beliau memberitahu kepada pemainnya adalah penting untuk mereka terus memberi tekanan dan membuatkan pasukan pihak lawan berasa keletihan.
“Sejak mula perlawanan, kami memang akan bermain secara agresif dan sudah pasti kelebihan untuk kami apabila pihak lawan terpaksa bermain dengan 10 pemain.
“Namun, ketika waktu rehat, saya katakan kepada pemain apa yang penting bukanlah jumlah pemain yang beraksi, yang paling penting adalah terus menyerang dengan agresif dan buatkan sehingga pemain Colombia keletihan.
“Separuh masa kedua, kami mengawal bola dan permainan dengan lebih baik dan sebab itu kami mendapat gol kedua.
“Ini hanyalah satu kemenangan dan tiga mata. Kami perlu berdepan dua lagi perlawanan, masih terlalu awal untuk meraikannya,” katanya.
Nishino sempat bergurau mahu menganjurkan perarakan di sekitar Saransk bagi meraikan kejayaan bersejarah Samurai Biru itu.
“Jika ini adalah satu perlawanan sahaja, kami akan melakukan perarakan sepanjang jalan di Saransk, tetapi kami mempunyai banyak perlawanan lagi, jadi kami kena simpan dulu sambutan ini,” katanya.
Pasukan Colombia bermain hampir keseluruhan perlawanan dengan kekurangan seorang pemain selepas pemain tengahnya, Carlos Sanchez dibuang padang kerana menghalang percubaan pemain Jepun dengan menggunakan tangan.
Shinji Kagawa berjaya menjaringkan penalti pada minit keenam sebelum Juan Quintero menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma.
Serangan demi serangan akhirnya membuahkan hasil untuk Jepun apabila penyerang Yuya Osako menanduk masuk bola ke gawang Colombia, memberi kemenangan pertama buat Jepun, malah Osako sendiri menggambarkan gol tersebut sebagai mimpi yang menjadi kenyataan. – AFP