Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 19 Jun 2018

Barisan pemain-pemain muda di pentas Piala Dunia 2018 sudah mula menampilkan kehebatan masing-masing. Nama seperti Hirving Lozano (Mexico), Benjamin Pavard (Perancis) serta Rodrigo Bentancur (Uruguay) adalah antara pemain muda yang mencuri tumpuan selepas beraksi cemerlang bersama pasukan masing-masing. Dalam masa sama, terdapat juga beberapa pemain yang memasuki usia matang tetapi mengecapi nikmat kali pertama di pentas Piala Dunia.

Situasi itu pastinya membuatkan beberapa pasukan kelab di Eropah mula mengintai peluang untuk memanggil beberapa pemain menyertai mereka. Ada yang tampil di Russia dan ada juga yang tidak berjaya melayakkan diri. Berikut adalah lima transfer rumours yang terhangat di Eropah pada hari ini:

Aleksandr Golovin

Selepas mencatat dua bantuan gol dan menyempurnakan sepakan percuma untuk turut meletakkan nama dalam senarai penjaring sewaktu Russia membelasah Arab Saudi 5-0 dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2018, nama pemain tengah ini mula menarik perhatian ramai. Manchester United, Arsenal, Juventus dan terbaru, Chelsea, dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 22 tahun. Spekulasi untuknya ke Stamford Bridge semakin meningkat selepas Maurizio Sarri dikatakan menyukai corak permainan yang dipamerkan Golovin, tatkala bekas pengendali Napoli itu dilihat semakin hampir untuk menggantikan tempat Antonio Conte selaku pengurus The Blues.

Willian

Manchester United dikhabarkan telah menyediakan bidaan perpindahan berjumlah GBP60 juta buat pemain sayap Chelsea dari Brazil, Willian. Walaupun sebelum ini Jose Mourinho menegaskan dia tidak mahu mendapatkan mana-mana pemain serangan, risiko kehilangan Anthony Martial mungkin membuatkan pengendali dari Portugal itu untuk mula memikirkan alternatif lain. Sebelum ini, nama Gareth Bale turut mencuri tumpuan untuk mengisi posisi sayap di Old Trafford, namun tuntutan bayaran yang terlalu tinggi mungkin membuatkan Willian berpeluang lebih cerah untuk dibawa menyertai United.

Eden Hazard

Bintang Chelsea, Eden Hazard, kembali menghangatkan spekulasi perpindahannya untuk ke Real Madrid selepas menyifatkkan Los Blancos tahu bagaimana untuk mendapatkan khidmatnya. Kelibat Hazard sebelum ini menarik perhatian bekas pengendali Madrid, Zinedine Zidane, namun khabar angin itu reda seketika selepas legenda Perancis itu meninggalkan Santiago Bernabeu. Bagaimanapun, kini perpindahan itu dilihat kembali bernyala.

Gelson Martins

Gelson membuatkan beberapa pasukan di Eropah mula melakukan perkiraan untuk mendapatkan khidmatnya, selepas dia bersama Rui Patricio, William Carvalho, Gelson Martins, Bruno Fernandes Ruben Ribeiro, Bas Dost dan Daniel Podence meminta untuk menamatkan kontrak bersama Sporting Lisbon. Lazio, Arsenal dan Everton adalah antara pasukan yang berminat untuk membawanya menyertai skuad masing-masing. Kemampuan Gelson untuk bermain dalam pelbagai posisi di bahagian serangan menjadi faktor utama khidmatnya menjadi rebutan.

Matthijs De Ligt

Sebelum ini, Pep Guardiola bercadang untuk membawa masuk bek tengah muda ini untuk dijadikan pengganti jangka masa panjang buat Vincent Kompany. Pemain berusia 18 tahun ini sudah pun melakukan penampilan bersama skuad senior pasukan kebangsaan Belanda. Tottenham Hotspur juga berhasrat membawanya ke England bagi menggandingkannya dengan bekas rakan sepasukan di AFC Ajax, Davinson Sanchez. Kini, Everton muncul pasukan terbaru yang mahukan kudrat naib juara Liga Europa 2016/17 ini.