Baru-baru ini, kami memuat naik sebuah artikel yang memberi gambaran skuad Soviet Union sekiranya negara tersebut tidak dipecahkan. Pemain-pemain seperti Oleg Zinchenko dan Henrikh Mkhitaryan sudah tentu dapat beraksi di pentas Piala Dunia, jika pasukan Soviet Union masih wujud.
Artikel tersebut mendapat sambutan yang meluas daripada para pembaca kami, sehingga ada yang turut meminta kami menulis dan memberi gambaran skuad Malaysia, sekiranya pemisahan Brunei dan Singapura tidak berlaku.
Seperti yang anda tahu, Brunei menarik diri daripada perbincangan untuk membentuk persekutuan Malaysia pada tahun 1962, manakala Singapura pula pada mulanya menyertai Malaysia pada tahun 1963, sebelum menarik diri dua tahun kemudian pada tahun 1965.
Jadi berikut adalah gambaran skuad Malaysia, sekiranya Brunei dan Singapura menjadi sebahagian daripada negara kita sehingga hari ini:
GK: Hassan Sunny (Singapura)
Penjaga gol yang berusai 34 tahun ini kini beraksi untuk Army United di pentas Liga Thai dan dikenali sebagai antara penjaga gol terbaik dan paling berpengalaman di rantau Asia Tenggara.
RB: Matthew Davies (Malaysia)
Kapten pasukan Pahang ini merupakan antara bintang bolasepak yang paling konsisten di Malaysia. Davies memainkan peranan yang besar dalam membantu skuad B-23 negara mencipta sejarah di Kejohanan AFC B-23 tahun pada bulan Januari lepas, dan dijangka akan menjadi antara pemain utama Malaysia di kejohanan Piala AFF pada hujung tahun ini.
CB: Safuwan Baharuddin (Singapura)
Walaupun digunakan sebagai 'defensive midfielder' di Pahang, Safuwan memulakan karier beliau sebagai pemain pertahanan tengah. Mempunyai ketinggian untuk memenangi 'pertembungan udara' dan pernah dipancing oleh Melbourne City FC pada tahun 2015, di mana beliau meledak dua gol dalam enam penampilan.
CB: Fadhli Shas (Malaysia)
Musim ini, Fadhli Shas dilihat berjaya mencari rentak semula bersama skuad Johor Darul Ta'zim, dan kini merupakan antara pemain pertahanan yang paling berpengalaman di Malaysia.
LB: La'Vere Corbin-Ong (Malaysia)
Pemain kacukan Barbados-Malaysia ini menyertai Johor Darul Ta'zim pada awal musim ini, dan walaupun kadang-kala nampak tidak begitu konsisten, Corbin-Ong tetap mempunyai ketinggian dan kepantasan untuk menjadi bek kiri yang efektif.
CM: Hariss Harun (Singapura)
Boleh diklasifikasikan sebagai pemain terbaik Singapura pada waktu ini. Cukup tenang dalam mengawal bola, dan kini sejak kebelakangan ini, beliau diberi tanggungjawab menjadi kapten Johor Darul Ta'zim.
CM: Faiq Bolkiah (Brunei)
Kini sebahagian daripada skuad remaja Leicester City, Faiq Bolkiah merupakan satu-satunya pemain Brunei yang dimasukkan ke dalam skuad ini. Beliau masih lagi muda dan mampu berkembang menjadi pemain yang lebih efektif. Setakat ini, Faiq sudah membuat sembilan penampilan untuk skuad kebangsaan Brunei, dan berjaya menjaringkan satu gol, ketika menentang Laos dalam perlawanan kelayakan Piala AFF 2016.
CM: Natxo Insa (Malaysia)
Bekas bintang Levante, Natxo Insa merupakan pemain kacukan Malaysia-Sepanyol dan boleh dikatakan pemain tengah paling berkualiti di negara ini. Mewakili Johor Darul Ta'zim sejak Jun 2017, Natxo Insa juga berjaya membuat penampilan pertama untuk skuad Harimau Malaya pada bulan Mac lepas.
LW: Faris Ramli (Singapura)
Antara pemain Singapura yang paling 'underrated'. Namun musim ini, nama beliau semakin popular. Faris Ramli muncul antara pemain import Asia Tenggara terbaik di Malaysia dan sudah berjaya meledak empat gol dan mencatat tiga 'assists' untuk PKNS FC setakat ini.
RW: Mohamadou Sumareh (Malaysia)
Setelah berbulan-bulan mendengar spekulasi, Mohamadou Sumareh baru-baru ini sah menerima kerakyatan Malaysia dan kini boleh mewakili skuad Harimau Malaya. Pemain yang berasal daripada Gambia ini mempunyai kelajuan yang tinggi, dan pandai menggelecek bola melepasi pertahanan lawan. Mempunyai gandingan yang baik bersama Matt Davies di Pahang.
ST: Safawi Rasid (Malaysia)
Meskipun baru berumur 21 tahun, Safawi Rasid kini adalah antara penyerang terbaik di Malaysia. Sejak beraksi dengan cemerlang di kejohanan Piala AFC B-23 tahun pada bulan Januari lepas, Safawi kini sedang dipantau oleh beberapa kelab Jepun dan Korea Selatan. Memainkan peranan yang cukup besar untuk skuad Johor Darul Ta'zim, musim ini.
Setuju dengan pilihan kami? Kongsikan pandangan anda di ruang komen Facebook kami!