Luar Negara Piala Dunia 2018

Bagaimana Patrick Vieira bantu Senegal ke Piala Dunia

Bekas kapten pasukan Perancis, Patrick Vieira telah memberikan satu sumbangan yang tidak ternilai buat Senegal yang pertama kali layak ke Piala Dunia sejak 2002.

Senegal yang akan bertemu Poland pada perlawanan Kumpulan H malam ini bakal menampilkan tiga graduan pertama dari akademi bola sepak Diambars.

Tiga pemain yang memulakan kerjaya bola sepak di akademi itu adalah Idrissa Gana Gueye dari Everton, Papa Ndiaye dari Stoke City dan Kara Mbodji dari Anderlecht.

Ini tidak termasuk Saliou Ciss dari Angers, yang sepatutnya berada dalam senarai pasukan tetapi kecederaan memaksa beliau terlepas aksi Piala Dunia.

Diambars dibuka pada tahun 2003 dan diasaskan oleh Vieira dan beberapa pemain lain.

Vieira yang dilahirkan di Senegal, memulakan akademi tersebut bagi mempromosikan pendidikan dalam kalangan remaja di negara itu.

Akademi Diambars terletak di bandar Saly, kira-kira 70 kilometer di luar ibu kota Senegal, Dakar.

Gueye, Ndiaye, Mbodji dan Ciss adalah antara pemain yang pertama menyertai akademi itu melebarkan sayap ke Eropah.

Gueye berada di akademi itu antara tahun 2003 dan 2008.

“Piala Dunia adalah impian lama saya sejak berada di akademi Diambars.

“Saya sangat bangga menjadi bekas pemain Diambars, dapat mewakilinya dan juga mewakili Senegal di Piala Dunia,” katanya kepada BBC.

Ndiaye pula menganggapnya sebagai satu penghormatan.

“Ini satu penghormatan dan ia menunjukkan bahawa Diambars telah berjaya memberikan sumbangan.

“Mereka boleh membantu anak-anak yang mempunyai impian, untuk mencapai impian mereka, Diambars adalah akademi yang hebat dan saya berharap pemainnya akan menjadi lebih baik daripada kami,” katanya.

Ciss yang digantikan oleh Adama Mbengue hanya beberapa hari sebelum Senegal memulakan kempen Piala Dunia berharap pencapaian mereka akan membantu memotivasikan generasi pelajar Diambars ketika ini.

“Ini bukti bahawa Diambars berkesan dan ia akan menyebabkan lebih ramai mahu berada di Piala Dunia seperti kami,” katanya.

Bekas rakan mereka, Makhtar Mbow, menyertai akademi pada masa yang sama dengan yang lain, namun kecederaannya memaksa beliau bersara lebih awal.

Beliau yang kemudiannya mendapat ijazah sarjana dalam bidang ekonomi, kembali ke Diambars sebagai Pengarah Operasi.

“Bagi kami ini adalah satu penghormatan besar untuk mempunyai empat pemain yang ke Piala Dunia,” jelasnya.

“Ini motivasi untuk anak-anak muda supaya bekerja dengan lebih keras dan berupaya untuk ke Piala Dunia juga.

“Saya ingat dulu, Idrissa Gana Gueye ketika masih muda, beliau selalu menangis bila tidak dapat bermain dalam pasukan tetapi beliau sebenarnya seorang budak yang baik, itulah sebabnya beliau boleh berada di Everton sekarang.

“Saya sangat gembira melihat beliau pergi ke Piala Dunia.

“Saya masih ingat Papa Ndiaye, lebih muda daripada kami tetapi seorang yang bekerja keras, dialah yang selalu menjadi orang yang pertama berada di padang,” katanya.

Gueye, Ndiaye dan Kara sedar bahawa penampilan mereka dalam Piala Dunia kali ini bukan sahaja penting untuk negara mereka malah penting buat 100 pelatih akademi bola sepak Diambars yang akan menyaksikan sejarah baharu bakal tercipta.