Pada tahun 1966, skuad kebangsaan England mencatat sejarah apabila muncul selaku juara Piala Dunia di laman sendiri. Kisah pahlawan Geoff Hurst yang mencatat tiga gol di kejohanan itu masih menjadi bahan bualan sehingga kini.
Selepas itu, England tidak pernah ketandusan pemain bintang di barisan depan. Bermula zaman Kevin Keegan, Bryan Robson, Gary Lineker, Alan Shearer, David Beckham sehinggalah Wayne Rooney.
Berbekalkan kualiti skuad yang ampuh, The Three Lions juga sering menjadi calon untuk memenangi kejuaraan di kejohanan besar. Malangnya, persembahan England tidak pernah memenuhi jangkaan. Catatan terbaik yang pernah dilakukan adalah separuh akhir Piala Dunia 1990 dan Piala Eropah 1996. Baki saingan lain amat menyedihkan.
Sesetengah pihak menganggap media-media England memandang skuad kebangsaan mereka terlalu tinggi walaupun kekuatan sebenar tidak setaraf dengan harapan. Ramai pihak yang sudah mengetahui bahawa skuad England sering dibuai dengan liputan luas oleh media tetapi prestasi terbaik tidak dapat diterjemahkan di atas padang.
Era demi era tetapi harapan untuk melihat England menjulang trofi masih menyala, termasuk di Piala Dunia 2018 yang akan bermula beberapa hari lagi. Bagi negara yang memiliki saingan liga paling kompetitif di dunia ini, sandaran utama untuk mereka beraksi hebat terletak di bahu penyerang Tottenham Hotspur yang juga kapten skuad kebangsaan, Harry Kane.
Baru berusia 24 tahun, kelibat pemain kelahiran Walthamstow ini menampilkan kualiti yang diperlukan selaku penggempur. Dalam tempoh empat musim mewakili The Lilywhites, Kane masih belum pernah mencatat kurang daripada 20 gol di Liga Perdana Inggeris.
Melihat ketajaman itu, tidak hairanlah beberapa kelab atasan di England atau luar negara mula memasang niat untuk mendapatkan khidmatnya.
Selain menawarkan bayaran gaji yang tinggi, kelab-kelab itu juga menjanjikan harapan kejuaraan, sesuatu yang dilihat sukar untuk diraih Kane jika kekal bersama pasukan dari London Utara itu. Sehingga kini, Kane masih belum meraih sebarang trofi bersama The Lilywhites.
Dalam skuad kebangsaan, aksi-aksi hebat Kane sukar diabaikan oleh peminat The Three Lions. Piala Eropah 2016 di Perancis menjadi penampilan pertamanya di kejohanan antarabangsa. Dia juga muncul watak utama pasukan yang dibimbing Roy Hodgson ketika itu.
Namun, impian untuk melihat Kane menyinar seperti ketika bersama Spurs hancur. Diturunkan dalam setiap aksi tetapi dia gagal menjaringkan walaupun satu gol. Hasilnya, laluan England di Piala Eropah berakhir awal dan terkandas di pusingan kedua.
Kini, di bawah bimbingan Gareth Southgate, England tetap mengharapkan Kane untuk mengetuai barisan depan di Piala Dunia 2018. Harapannya sangat jelas, agar penyerang itu dapat membalas kepercayaan yang diberi dan menghadirkan ngauman sebenar The Three Lions seperti singa, bukan kucing. Kegarangan Kane yang dahagakan gol adalah sesuatu yang amat dinantikan oleh penyokong England apabila bertempur di Russia.
Diundi dalam Kumpulan G bersama Belgium, Panama dan Tunisia, peluang untuk England melepasi peringkat kumpulan agak cerah. Lebih-lebih lagi, lawan paling besar, De Rode Duivels, akan ditemui dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Jadi, itu bermaksud The Three Lions boleh mengumpulkan mata maksimum sewaktu berdepan Les Aigles de Carthage dan Los Canaleros dan untuk mengejar cita-cita itu, Kane harus tampil cemerlang.