Piala Dunia 2018 Luar Negara

15 Jun 2018: 11 pemain yang bakal mencuri tumpuan dalam aksi Piala Dunia malam ini

Selamat Hari Raya para pembaca Football Tribe!

Malam ini, kita akan disajikan dengan tiga lagi perlawanan Piala Dunia, dan kesemuanya menjanjikan aksi-aksi yang cukup menarik. Berikut adalah senarai perlawanan tersebut:

  1. Mesir lwn Uruguay (8.00 malam)
  2. Morocco lwn Iran (11.00 malam)
  3. Portugal vs Spain (2.00 pagi)

Berdasarkan tiga perlawanan ini, kami telah membina senarai 11 pemain yang akan menjadi tumpuan ramai malam ini:

GK: Essam Al-Hadary

Penjaga gol Mesir ini bakal menjadi penjaga gol tertua untuk beraksi di Piala Dunia, sekiranya diturunkan malam ini. Al-Hadary kini berumur 45 tahun.

DF: Sergio Ramos

Selepas kontroversi final UCL, Ramos akan kembali beraksi di atas padang malam ini, dan Sepanyol akan bergantung kepada beliau untuk mengekang Cristiano Ronaldo.

DF: Achraf Hakimi

Bintang muda Real Madrid ini merupakan antara pemain paling popular dalam skuad Morocco, dan dijangka akan memainkan peranan penting malam ini.

 

DF: Pepe

Selepas Pepe berhijrah ke Besiktas, kita jarang mendengar berita tentang pemain yang cukup lucu ini. Malam ini, beliau kembali beraksi di pentas terbesar sekali lagi. Lebih menarik? Pepe mungkin berdepan dengan Diego Costa - sebuah pertarungan yang mampu mencetus tayangan kad merah.

CM: Lucas Torreira

Pemain tengah Uruguay ini dikatakan sudah bersetuju untuk menyertai Arsenal dan setiap penyokong Gunners sudah tentu mahu melihat aksinya di atas padang.

CM: Andres Iniesta

Ini merupakan penampilan terakhir Andres Iniesta di pentas Piala Dunia, dan dia akan mengemudi jentera tengah Sepanyol menentang Portugal malam ini.

LM: Hakim Ziyech

Ziyech jelas merupakan pemain paling kreatif dalam skuad Maghribi. Baru sahaja dinobat sebagai pemain terbaik di Liga Belanda, Ziyech mampu bermain sebagai playmaker ataupun pemain sayap.

RM: Alireza Jahanbaksh

Harapan Iran untuk mendapatkan gol. Alireza muncul penjaring terbanyak Liga Belanda dengan 22 gol musim ini, dan akan mengemudi jentera serangan Iran.

LW: Cristiano Ronaldo

Ini mungkin peluang terakhir Cristiano Ronaldo untuk memenangi Piala Dunia, dan segalanya bergantung kepada momentum yang boleh mereka kutip dari perlawanan pertama.

RW: Mohamed Salah

Apa lagi yang perlu diperkatakan tentang Mohamed Salah?! Bintang Liverpool ini sah melepasi ujian kecergasan dan akan beraksi malam ini!

FW: Luis Suarez

Walaupun dibenci orang ramai, kita tidak boleh menafikan bahawa Luis Suarez tetap penyerang terbaik Uruguay pada waktu ini.