Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Previu Senegal di Piala Dunia 2018: Barisan pemain yang sedia merantau ke kelompok atasan

Pasukan dengan penampilan pertama yang mengejutkan telah kembali. Senegal yang mengejutkan Perancis dalam aksi pertama Piala Dunia 2002 di Seoul telah kembali berentap di pentas terbesar dunia itu. Jadi, sejauh manakah peluang mereka kali ini?

Seperti pasukan Afrika yang lain, Senegal turut mempertaruhkan pemain-pemain yang merantau di luar daripada negara mereka, seperti di liga besar Eropah termasuk Liga Perdana Inggeris, Serie A dan Ligue 1.

Senarai pemain Senegal di Piala Dunia 2018 menunjukkan situasi itu. Kemewahan disebalik kesederhanaan. Bermula daripada satu pengumuman yang sangat ringkas dan sederhana, hanya memerlukan sekeping kertas membariskan nama pemain cukup untuk menyembunyikan kekuatan sebenar mereka.

Penyatuan teknik dan fizikal sangat ketara dalam skuad kali ini. Di barisan belakang, mereka diperkuatkan Kalidou Koulibaly yang membawa Napoli ke tangga kedua Serie A, kemudian disusuli Keita Balde Diao, pemain muda yang mula menyerlah bersama Lazio dan kini bersama AS Monaco, serta yang terakhir adalah finalis Liga Juara-Juara Eropah musim ini, Sadio Mane.

Jangkaan formasi

Skuad Senegal ketika ini dikendalikan oleh Aliou Cisse, kapten pasukan sewaktu mereka layak ke suku akhir edisi 2002. Ketika itu, Cisse menjadi pertaruhan Bruno Metsu dalam formasi 4-4-2 diamond yang sedang terkenal. Namun, di bawah bimbingan Cisse, Senegal jauh daripada konsep seimbang yang diketengahkan oleh Metsu.

Sedar akan kemampuan pasukannya yang dahsyat, Cisse memaksimumkan kekuatan pasukannya dengan 4-3-3. Formasi ini mula digunakan ketika aksi pertama peringkat kelayakan Kumpulan D zon Afrika apabila menggantikan 4-4-2 yang meletak dengan mereka, sebelum itu.

Aura ledakan jelas terpancar apabila melihat kesebelasan utama Senegal. Kedua-dua sayap diisi oleh bintang utama iaitu Keita Balde Diao dan Sadio Mane. Kedua-duanya akan menjadi tonggak utama untuk mencatat jaringan, sekaligus menjadi pembantu buat Moussa Sow, penyerang Bursaspor  yang beraksi sebagai penyerang tunggal.

Sementara itu, untuk memastikan kestabilan pasukan, barisan tengah Senegal menggunakan khidmat Cheikhou Kouyate, pemain West Ham United sambil Koulibaly akan mengemudi bentang Senegal untuk mengekang asakan daripada Jepun, Colombia dan Poland.

Kekuatan

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kekuatan mereka terletak pada kedua-dua sayap. Mane dan keita Balde tidak hanya berteraskan kepantasan tetapi kebijaksanaan dalam mencipta peluang, sekaligus menjadi pertaruhan Senegal untuk memecahkan benteng lawan.

Mane pada musim ini telah mencatat sembilan bantuan gol dalam semua kejohanan buat Liverpool manakala Keita Balde mengumpul 11 bantuan jaringan bersama AS Monaco. Ia menjadi bukti bahawa dua pemain itu adalah penggerak utama untuk menghadirkan jaringan.

Kelemahan

Masalah utama Senegal sama seperti wakil Afrika yang lain, setelah tiada keseimbangan dalam pasukan. Ia melibatkan faktor pengalaman dan kualiti dalam kalangan pemain. Pemain-pemain seperti Mane, Keita Balde, M’Baye Niang, Cheikhou Kouyate, dan Koulibaly mungkin sudah terbiasa dengan persaingan yang tinggi tetapi belum tentu ia mampu dihadapi oleh rakan sepasukan mereka yang beraksi di liga lebih rendah.

Sebagai contoh, penjaga gol mereka. Khadim N’Diaye hanya beraksi di Liga Guinea bersama Horoya FC, kemudian Kara Mbodji yang menjadi gandingan Koulibaly di Piala Dunia bukanlah pemain utama di Anderlecht. Sementara itu, barisan penyerang seperti Moussa Sow, Moussa Konate, dan Diafra Sakho bukanlah penggempur yang begitu berbisa.

Kekurangan itu mampu menjadi penghalang untuk Senegal mengatasi lawan mereka, lebih-lebih lagi jika Mane dan Keita Balde dikawal ketat.

Kredit Foto: Liverpool FC

Pemain utama: Sadio Mane

Walaupun dia bukan kapten tetapi Mane boleh dikatakan sebagai pemimpin dalam pasukan Singa Teranga yang akan menakluki Russia. Berbekalkan pencapaiannya bersama Liverpool pada musim ini, Mane adalah pemain Senegal paling menyinar ketika ini.

Angka EUR70 juta yang menjadi tanda harganya kini semakin bertambah membuatkan status bintang dirinya dalam skuad Senegal lebih terserlah. Lebih-lebih lagi, persaingan dalam Kumpulan H akan sengit dan Mane berpotensi untuk membawa Senegal layak ke pusingan kedua dan mungkin melakar kejutan seperti tahun 2002.

Peluang di Piala Dunia

Secara menyeluruh, kualiti Senegal agak seimbang dengan Poland dan Colombia serta lebih bagus berbanding Jepun. Oleh itu, kemaraan Senegal kali ini akan dipengaruhi oleh keputusan dua perlawanan awal. Jika empat mata dapat diraih sewaktu berdepan Poland dan Jepun, tiket ke pusingan kedua hampir pasti buat mereka tetapi jika gagal, aksi berdepan Colombia tentunya sangat mencabar buat Singa Teranga.