Luar Negara Eropah

Bayern hanya akan jual Lewandowski dengan €200 juta?

Bayern Munich dikatakan hanya akan melepaskan penyerang utamanya, Robert Lewandowski sekiranya kelab yang berminat sanggup membayar dengan harga €200 juta euro.

Harga tersebut diletakkan selepas ejen kepada Lewandowski melaporkan pada bulan lepas bahawa pemain antarabangsa Poland itu mahu berpindah keluar dari kelab gergasi Jerman itu.

Beberapa kelab gergasi Eropah sudah lama berminat dengan Lewandowski seperti Manchester United, Chelsea malah Real Madrid juga mempunyai hasrat untuk mendapatkan khidmat beliau.

Namun presiden Bayern, Uli Hoeness menafikan khabar angin tersebut dan menganggapnya sebagai satu perkara yang mengarut.

“Harga €200 juta adalah mengarut,” katanya kepada Sky.

“Robert tidak akan dijual dan akan terus beraksi bersama kita musim depan. Keputusan itu telah pun muktamad,” katanya.

Lewandowski yang akan berusia 30 tahun pada bulan Ogos ini mempunyai kontrak bersama Bayern sehingga 2021 dan telah berada di Munich sejak empat musim yang lalu dan menjaringkan sebanyak 41 gol pada musim lalu.

Bayern menandatangani Lewandowski secara percuma pada tahun 2014 dan telah mendapat manfaat yang cukup berharga apabila Lewandowski menjaringkan 151 gol kurang daripada 200 perlawanan untuk kelab tersebut.

Luar biasanya, Lewandowski akan beraksi di Piala Dunia 2018 buat pertama kalinya dalam kariernya selepas sekadar beraksi di kejohanan antarabangsa seperti Euro 2012 dan Euro 2016 kerana Poland gagal melayakkan diri dalam saingan Piala Dunia 2010 dan 2014.

Penyerang Poland itu dijangka beraksi dalam Kumpulan H, salah satu kumpulan maut yang membariskan wakil dari Amerika Selatan iaitu Colombia, wakil dari Afrika iaitu Senegal dan wakil dari Asia iaitu Jepun.