Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Previu Tunisia di Piala Dunia 2018: Misi sukar untuk mencipta sejarah

Sejak merdeka daripada jajahan Perancis pada tahun 1956, Tunisia telah empat kali melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia. Mereka melakukannya buat pertama kali pada Piala Dunia 1978 di Argentina, sebelum terlepas dalam empat edisi seterusnya. Piala Dunia 1998 di Perancis menyaksikan mereka kembali beraksi, di tanah bekas penjajah mereka.

Tunisia layak dua kali ke Piala Dunia seterusnya, iaitu pada 2002 dan 2006 di Korea Selatan & Jepun serta Jerman. Namun, mereka kembali terlepas tiket ke Piala Dunia 2010 dan 2014, sebelum akhirnya kembali dalam edisi di Russia pada tahun ini.

Bagaimanapun, sejarah menyaksikan sepanjang penglibatan mereka di pentas Piala Dunia, mereka tidak pernah sekali pun melepasi peringkat kumpulan. Ia bukanlah satu perkara yang besar kerana Tunisia sendiri bukan sebuah negara yang hebat di benua Afrika tatkala hanya sekali menjulang Piala Afrika. Namun, dia Piala Dunia 2018, The Eagles of Carthage tentunya ingin mengubah sejarah tetapi mereka akan berdepan tugas yang sukar.

Barisan pemain

Tunisia diberi tamparan hebat apabila tonggak utama, Youssef Msakni, terpaksa melupakan saingan Piala Dunia akibat kecederaan ligamen. Pemain sayap yang beraksi buat kelab Qatar, Al-Duhail, itu merupakan penjaring terbanyak Tunisia di peringkat kelayakan dengan tiga gol. Dia begitu penting di dalam pasukan sehingga dibandingkan dengan Lionel Messi di Argentina serta Cristiano Ronaldo bersama Portugal oleh pengendali, Nabil Maaloul.

Selain Msakni, Tunisia juga dibarisi nama yang tetap. Bermula daripada tonggak yang berkelana di Perancis seperti Wahbi Khazri dan Naim Sliti, benteng Leicester City, Yohan Benalouane, kapten dan juga penjaga gol utama, Aymen Mathlouthi, serta penyerang, Saber Khalifa.

Kekuatan

Memiliki pemain seperti Khazri dan Sliti, skuad Tunisia masih mempunyai pemain yang boleh diharapkan walaupun tanpa Msakni. Dua pemain ini mampu mengubah sesuatu perlawanan, terutamanya Khazri yang berpengalaman beraksi di Liga Perdana Inggeris bersama Sunderland untuk digunakan sewaktu menentang England di aksi peringkat kumpulan nanti.

Tunisia juga belum tewas dalam empat aksi persahabatan terakhir, dimana tiga daripadanya menentang pesaing di Piala Dunia iaitu iran, Costa Rica dan Portugal. Mereka memiliki keinginan yang tinggi, lebih-lebih lagi sewaktu bertemu Portugal sehingga mampu mengikat juara Piala Eropah 2016 itu dengan keputusan seri.

Kelemahan

Ketiadaan Msakni dianggap benar-benar membantutkan peluang Tunisia untuk melangkah jauh di Russia nanti. Bukan sekadar seorang penjaring gol, Msakni juga menjadi watak utama buat serangan The Eagles of Carthage. Selain tiga gol, hatrik sewaktu berdepan Guinea, dia juga mencipta dua bantuan jaringan ketika aksi kelayakan, membuatkannya pasti dirindui.

Seperti Panama, Tunisia juga tidak mempunyai pemain yang beraksi dengan pasukan besar di liga utama Eropah ketika ini. Ia juga membuatkan pengalaman terhad dalam pasukan untuk berdepan England dan Belgium nanti.

 

Pemain utama: Wahbi Khazri

Seperti dikatakan sebelum ini, Khazri dan Sliti akan menjadi watak utama buat Tunisia selepas ketiadaan Msakni. Namun, nama pertama lebih diperlukan kerana pengalaman di peringkat tertinggi. Malah, Khazri juga mamppu menjadi ancaman di depan gol lawan. Dia berjaya menyumbat dua gol ketika aksi persahabatan bertemu iran. Bekas pemain Sunderland dan Girodins Bordeaux ini juga bahaya dalam situasi bola mati.

Jangkaan formasi

Dalam empat aksi terakhir, Maaloul menggunakan formasi 4-3-3 dan 4-4-2 secara bergilir. Posisi penjaga gol tampak menjadi milik kapten, Aymen Mathouthi, walaupun pemain muda, Moez Hassen, juga boleh diharapkan. Empat bek di depannya akan dibarisi oleh Hamdi Nagguez, Yassine Meriah, Syam Ben Youssef, dan Ali Maaloul, berurutan dari kanan ke kiri. Benalouane akan menjadi pengganti yang sempurna di bek tengah sementara Dylan Bronn mampu menjadi pesaing utama Nagguez di pertahanan kanan.

Di barisan tengah, terdapat Ellyes Skhiri, Mohamed Amine Ben Amor, dan Ferjani Sassi dalam kedudukan tiga pemain di bahagian itu sambil Sliti dan Anice Badri akan menjadi pengapit Khazri selaku penyerang utama.

Peluang di Piala Dunia

Sukar sebenarnya buat Tunisia untuk melepasi Kumpulan G, namun apabila meraih peluang, mereka akan menjadi pasukan yang mampu mengambil kesempatan di atas persembahan hambar England dan Belgium. Aksi pertama berdepan England akan sangat sukar tetapi usaha mereka untuk melangkah ke pusingan seterusnya memerlukan usaha yang lebih tinggi.