Hampir terlepas tiket ke Piala Dunia 2018, Argentina akhirnya mengesahkan tempat ke Russia apabila tonggak utama, Lionel Messi, melakukan keajaiban dalam aksi kelayakan. Messi yang sebelum itu memutuskan untuk bersara selepas gagal dalam beberapa pentas final, kembali memperkuatkan La Albiceleste untuk menyelesaikan perkara yang belum selesai. Kegagalan mereka di Piala Dunia sebelum ini tampak akan menjadi pemangkin semangat untuk menjulang trofi ketiga mereka.
Barisan pemain
Jorge Sampaoli telah mengecilkan jumlah 35 pemain kepada 23 pemain. Barisan depan tentunya menjadi ancaman utama dari pasukan Argentina. Sampaoli hanya perlu memilih seorang untuk digandingkan dengan Messi, dan adakah ia menjadi milik Paulo Dybala, Gonzalo Higuain, atau Sergio Aguero. Malangnya, penjaring terbanyak Serie A dari Inter Milan, Mauro Icardi, tidak berada dalam senarai pemain itu.
Barisan tengah diisi oleh barisan pemain veteran dan muda hebat yang baru dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Angel Di Maria tampak menjadi pilihan utama Sampaoli untuk mencipta kreativiti, dibantu dengan rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain, Giovani Lo Celso, yang beraksi cemerlang musim ini. Selain itu, terdapat pemain lain seperti Christian Pavon dan Manuel Lanzini yang memberikan tambahan pilihan buat Sampaoli.
Untuk pengalaman, kelibat Javier Mascherano masih boleh dapat dilihat bersama skuad kebangsaan. Dia mampu menjadi pemain tengah bertahan atau bek tengah untuk menemani Marcos Rojo, Nicolas Otamendi atau Federico Fazio yang hebat bersama AS Roma. Sampaoli juga sudah mengumumkan nama tiga penjaga gol, namu Sergio Romero mungkin tidak akan ke Russia kerana kecederaan dan digantikan oleh Nahuel Guzman yang sebelum ini tersingkir.
[SELECCIÓN MAYOR] Estos son los 23 jugadores que vestirán la Celeste y Blanca en #Rusia2018 🇦🇷 #VamosArgentina #SomosArgentina pic.twitter.com/tuZKVMms09
— 🇦🇷 Selección Argentina ⭐⭐⭐ (@Argentina) May 21, 2018
Kekuatan
Kekuatan utama La Albiceleste tentunya terletak di bahagian depan mereka. Keempat-empat pemain yang dipanggil meraih catatan gol yang bagus pada musim ini. Gandingan Juventus, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain, masing-masing menyumbat 26 dan 23 gol buat kelab Itali itu. Walaupun cedera, Sergio Aguero tetap mampu mencatat 30 jaringan buat Manchester City sementara Messi meraih kasut emas LaLiga dengan 34 gol.
Kelemahan
Argentina mempunyai beberapa masalah dalam skuad mereka. Pertaman, barisan pertahanan yang tidak meyakinkan. Walaupun dibarisi nama-nama berpengalaman seperti Otamendi, Rojo dan Mascherano, ketika aksi kelayakan mereka telah dibolosi 16 gol dalam 18 perlawanan. Selain itu, penjaga gol mereka juga sekadar bertindak selaku pemain simpanan dan tidak beraksi di Eropah. Masalah lain yang sangat dikhuatiri adalah konsep yang terlalu bergantung kepada Messi.
Pemain utama: Lionel Messi
Messi jelas menjadi kunci utama Argentina di Piala Dunia 2018 nanti. Selain menjadi nadi utama kelabnya, Barcelona, Messi juga diharapkan oleh skad Argentina. Ia terbukti ketika Piala Dunia 2014 apabila dia mengemudi negaranya ke final dan aksi kelayakan yang lalu, dimana dia menjadi wira untuk mengesahkan tiket buat negaranya ke Piala Dunia 2018.
Jangkaan formasi
Sampaoli sering dilihat menggunakan tiga bek dengan formasi 3-5-2 atau 3-4-2-1. Untuk penjaga gol, ketiadaan Romero memberikan ruang kepada Wilfredo Caballero sebagai pilihan utama. Tiga pemain pertahanan utama akan digalas oleh Rojo, Otamendi dan Mascherano.
Jika menggunakan lima pemain tengah, mereka akan membariskan Lo Celso, Ever Banega dan Lucas Biglia tatkala posisi sayap akan digalas oleh Di Maria dan Eduardio Salvio, sambal pemain muda seperti Pavon bersedia untuk menggantikannya. Jika menggunakan empat pemain tengah, Lo Celso adalah nama yang akan dikorbankan.
Barisan depan juga diubah-ubah mengikut kesesuaian. Messi sudah pasti menerima satu tempat di jentera serangan. Dia mampu beraksi bersama satu penyerang tambahan atau Sampaoli boleh meletakkan dua penyerang bantuan. Aguero, Dybala dan Higuain akan cuba merebut posisi itu. Di Maria juga boleh dipertaruhkan di bahagian depan, sama seperti Lanzini.
Peluang di Piala Dunia
Argentina menjadi negara pilihan yang akan melepasi peringkat kumpulan. Namun, terdapat kemungkinan mereka akan menghadapi detik sukar apabila melihat lawan yang diihadapi seperti Croatia, Nigeria dan juga pasukan bersemangat tinggi, Iceland. Mereka juga akan bekerja keras untuk ke final dan meraih trofi Piala Dunia yang diidamkan Messi sejak sekian lama.