Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Profil Australia di Piala Dunia 2018: Misi Socceroos elak jadi pelengkap kejohanan

Australia menjadi wakil terakhir yang mengesahkan tempat di Piala Dunia dari Asia. Mereka terpaksa melalui fasa play-off antara-benua menewaskan Honduras. Selepas melayakkan diri ke Russia, mereka melantik Bert van Marwijk selaku pengurus baru menggantikan Ange Postecoglou.

Pertukaran pengurus pasukan itu telah mempengaruhi persiapan mereka. Namun, dengan nama besar van Marwijk serta pengalaman Australia yang layak tiga kali berturut-turut ke Piala Dunia sejak 2006 sehingga 2014, mereka tidak boleh dipandang rendah. Walaupun pencapaian terbaik hanya pada 2006, dimana ketika itu mereka melayakkan diri sehingga ke peringkat pusingan kedua kejohanan.

Mile Jedinak dan rakan sepasukannya wajib bersikap realistik apabila melihat persaingan Kumpulan C, dimana usaha merebut tempat ke kelompok 16 terakhir agak sukar. Namun, pemain yang berkelana di pentas Eropah mengukuhkan hakikat bahawa Australia tidak boleh diabaikan kerana berpotensi menghadirkan kejutan.

Bayangan skuad

Skuad kebangsaan Australia belum mengumumkan senarai 23 orang pemain untuk pusingan akhir Piala Dunia di Russia. Skuad sementara yang disenaraikan oleh van Marwijk dibarisi oleh beberapa pemain berpengalaman termasuk tonggak senior yang berusia 38 tahun, Tim Cahill. Van Marwijk menyifatkan Cahill sebagai seorang pemain yang sangat diperlukan di pentas sebesar Piala Dunia. Ia dibuktikan ketika kelayakan apabila menyumbat 11 gol.

Selain Cahill, nama-nama yang berkelana di England juga disenaraikan oleh pengurus. Kapten, Mile Jedinak (Aston Villa), Massimo Luongo (QPR), Aaron Mooy (Huddersfield Town) serta Matthew Ryan (Brighton & Hove Albion). Ketika ini, Australia sedang menjalani latihan pusat di Turki.

Kekuatan

Barisan tengah akan menjadi kekuatan istimewa Australia di Piala Dunia 2018. Tonggak seperti Mooy, Jedinak dan Tom Rogic akan menjadi pusat permainan pasukan, terutama untuk mengubah pergerakan daripada bertahan ke menyerang dan begitu juga sebaliknya. Selain itu, faktor pengalaman yang dimiliki Cahill juga akan menjadi kunci di barisan depan.

Kelemahan

Pertukaran pengurus ketika aksi Piala Dunia berbaki kurang daripada enam bulan menjadi kelemahan terbesar di Piala Dunia akan datang. Van Marwijk bersama Socceroos masih belum melalui sebarang kejohanan kompetitif dan hanya mengharungi aksi pemanas badan antarabangsa FIFA. Lebih-lebih lagi, kelibat pengendali sebelumnya, Postecoglou, meninggalkan kesan besar buat skuad Australia dan mencipta suasana harmoni dalam kem pasukan sejak tiba pada 2013. Dalam dua aksi pemanas badan pada Mac lalu, van Marwijk masih belum mencatat kemenangan apabila seri 0-0 ketika bertemu Colombia serta dibelasah 4-1 oleh Norway.

Kredit Foto: Copa90

Pemain utama

Walaupun kehadiran Cahill sering menjadi perbincangan buat media Australia, namun pemain utama sebenarnya disandang oleh perancang Huddersfield, Mooy. Pemain tengah berusia 27 tahun ini menjadi tonggak penting dalam memintas bola gerakan lawan serta menjadi penghubung buat barisan benteng ke jentera serangan, sekaligus memiliki kelebihan yang tidak dimiliki pemain lain.

Musim ini ketika bersama Huddersfield, Mooy beraksi dalam 38 perlawanan dan mencipta empat gol serta empat bantuan jaringan. Paling penting, dia membawa Huddersfield selaku pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris bertahan pada musim depan. Pengalamannya sangat berguna untuk berdepan pemain-pemain dari negara lain.

Jangkaan formasi

Dalam dua aksi pemanas badan yang terakhir, Van Marwijk menggunakan pendekatan 4-2-3-1. Mathew Ryan akan mengawal gawang tatkala posisi bek tengah akan diisi oleh Trent Sainsbury dan Milos Degenek, walaupun Degenek sebelum ini beraksi di bahagian tepi. Bek kiri dan kanan akan digalas oleh Aziz Behich dan Josh Risdon.

Untuk dua posisi di bahagian tengah, ia sudah pasti menjadi miliki kapten, Mile Jedinak, serta Aaron Mooy. Sayap kiri akan diperkuatkan oleh Robbie Kruse dan sayap kanan menjadi milik pemain Hertha Berlin, Mathew Leckie. Barisan depan skuad Australia akan dipegang Tomi Juric sambil dibantu Tom Rogic selaku penyerang kedua.

Bagi pilihan kedua, Mooy akan beraksi di belakang penyerang, sementara Massimo Luongo menjadi gandingan Jedinak di tengah. Cahill yang semakin meniti usia akan bertindak selaku supersub yang diperlukan bagi mengganggu konsentrasi lawan di babak kedua.

Peluang di Piala Dunia

Walaupun layak ke tiga edisi Piala Dunia, tidak banyak yang boleh dijangka serta diharapkan daripada Australia tatkala Peru dan Denmark lebih unggul. Malah, media tempatan juga tidak banyak memberikan harapan kepada mereka, terutamanya apabila anak didik van Marwijk tewas dalam dua perlawanan pemanas badan.

Bagaimanapun, nama besar van Marwijk di pentas kejurulatihan tentunya akan dinilaikan lebih baik. Sekurang-kurangnya, sasaran pengurus itu adalah mengatasi mimpi ngeri dalam edisi 2014, apabila gagal mengutip sebarang mata.