Malaysia Liga Super Malaysia

Jurulatih dan pemain Kelantan dedah sebab kalah dengan pasukan tercorot

Penolong ketua jurulatih, Yusri Che Lah menganggap kekalahan 2-0 kepada Negeri Sembilan adalah berpunca daripada ketiadaan pemain import berkaliber di bahagian serangan.

Katanya, masalah itu juga menyebabkan Kelantan mengalami tiga kekalahan berturut-turut.

Disebabkan itu, pasukannya amat memerlukan pemain import baharu bagi membolehkan Kelantan kembali bersaing dengan lebih sengit dalam saingan liga.

“Kelantan sekarang ini banyak mempertaruhkan pemain muda dan walaupun mereka kurang berpengalaman, mereka berjaya menunjukkan persembahan yang baik.

“Kami juga sedar untuk menggilap bakat mereka, kita tidak akan dapat hasilnya dalam tempoh singkat. Justeru, kami amat perlukan segera tenaga import,” katanya kepada Kosmo!

Yusri menambah, pihak pengurusan sedang berusaha untuk mendapatkan tenaga import pada jendela perpindahan kedua dan kemungkinan khidmat pemain terbabit dapat digunakan dalam tempoh terdekat.

Beliau juga menafikan desas-desus bahawa Kelantan akan menyingkirkan Cassio Fransisco De Jesus yang tidak disenaraikan dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan, sebaliknya mengesahkan pemain berasal dari Brazil itu sebenarnya mengalami kecederaan.

Sementara itu, pemain Kelantan, Fakhrul Zaman Abdullah Zawawi mengakui ketiadaan import memberi kesan besar kepada prestasi keseluruhan pasukan.

“Memang rasa panik selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut. Apapun kami akan terus fokus dan bekerja lebih keras untuk perlawanan berikutnya,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Kelantan tewas dengan jaringan dua import baharu Negeri Sembilan, Alex Moraes Gomes dan Angel Guirado.