Malaysia Liga Super Malaysia

Jafri Firdaus Chew mahu bolosi gawang JDT di Shah Alam malam ini

Penyerang PKNS, Jafri Firdaus Chew semakin bersemangat untuk menjaringkan gol lagi-lagi apabila menentang JDT malam ini.

Katanya, jaringannya ketika seri 1-1 dengan Melaka United, Rabu lalu memberikan satu nafas baharu untuk meneruskan prestasi terbaiknya dalam perlawanan akan datang.

Jaringan ke atas Melaka itu bukan sahaja penting kerana menyelamatkan PKNS daripada tewas malah kena pada masanya ketika Jafri sedang tercari-cari sentuhan golnya selama ini.

“Sebagai penyerang, keupayaan saya akan diukur daripada jumlah jaringan, walaupun saya jarang diturunkan dalam kesebelasan utama dan lebih berperanan sebagai pemain sayap.

“Saya tetap bagi sumbangan kepada pasukan dan jurulatih, Datuk K. Rajagobal yang tidak pernah merungut mengenai hal ini namun saya sendiri berasa tidak puas bila gagal menjaringkan gol.

“Jika diturunkan lagi, saya akan berusaha untuk menambah bilangan gol dalam perlawanan ini. Kalau saya dapat melakukan ke atas JDT, sudah tentu ia akan memberi lebih kepuasan

“Berdepan JDT bukan tugas mudah, jadi semua pemain kena beri komitmen lebih 100 peratus. Kami juga perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah seperti yang berlaku dalam perlawanan dengan Melaka,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam pada itu, Jafri menganggap penyerang import JDT, Gonzalo Cabrera perlu diberi lebih perhatian kerana pemain import dari Argentina itu dilihat berupaya menembusi pertahanan mana-mana pasukan yang dihadapi.

“Kelebihan Cabrera adalah dia mampu mengelecek beberapa orang pemain serta bijak mencari ruang untuk melakukan jaringan. Malah, dia sekarang berada pada puncak prestasi apabila kerap menjaringkan gol,” katanya.