Malaysia

FAM umum tiga perlawanan persahabatan di Thailand untuk skuad bawah 19 tahun

Sebagai persiapan skuad bawah 19 tahun negara menghadapi dua kejohanan besar tahun ini, iaitu Piala AFF Bawah 19 tahun dan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 19 Tahun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah merancang tiga perlawanan persahabatan di Thailand.

Skuad kendalian Bojan Hodak itu akan berdepan pasukan Bawah 19 tahun Thailand (30 Mei), Assumption United (2 Jun) dan Chonburi FC (4 Jun). Bagi perlawanan berdepan pasukan bawah 19 tahun Thailand dan Assumption United, ianya akan berlangsung di Stadium SCG Muangthong sementara perlawanan menentang Chonburi FC akan berlangsung di Stadium Chonburi.

Skuad Bawah 19 tahun kini dalam rangka latihan bagi mempersiap pasukan untuk menghadapi Piala AFF Bawah 19 tahun yang akan berlangsung pada Julai ini dan juga Kejohanan AFC Bawah 19 tahun pada 18 Oktober hingga 4 November nanti. Kedua-dua kejohanan ini akan berlangsung di Indonesia.

Bagi Piala AFF Bawah 19 tahun, Malaysia telah diundi bersama Myanmar, Timor Leste, Kemboja dan Brunei dalam Kumpulan B.

Bagi Kejohanan AFC Bawah 19 tahun pula, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, China dan Tajikistan.