Malaysia Liga Super Malaysia

Kelantan ganti Nik Shahrul dengan pemain import baharu dari Tunisia

Penyokong Kelantan pasti berasa gusar apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sanggup membenarkan tonggak pertahanannya, Nik Shahrul Azim berhijrah ke PKNS FC dan tindakan itu dilihat melemahkan pertahanan pasukan.

Tetapi nampaknya penghijrahan pemain itu dengan pantasnya digantikan oleh pemain import baharu dari Tunisia iaitu Alaeddine Bouslimi.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain berusia 28 tahun itu sememangnya dibawa masuk bagi memperkukuhkan barisan pertahanan pasukan itu.

“Beliau akan digandingkan dengan seorang lagi pemain import dari Brazil, Cassio di posisi pertahanan bagi menggantikan Nik Shahrul yang berpindah ke pasukan PKNS FC.

“Dengan kemasukan pemain import yang dipilih sendiri jurulatih Fajr Ibrahim, ia dapat mengimbangi kekuatan barisan pertahanan pasukan yang agak goyah untuk beraksi lebih cemerlang selepas ini,” katanya kepada Berita Harian.

Alaeddine yang kali terakhir bermain bersama kelab Liga Divisyen Kedua Tunisia, CS Hamman Lif, menandatangani kontrak untuk beraksi dengan TRW sehingga November tahun ini.

Tambah Bibi, pihaknya berharap beliau akan cepat serasi bergandingan dengan Cassio di barisan pertahanan pasukan Kelantan.

“Kehadiran Alaeddine akan dapat membina kembali kekuatan pasukan yang nampak agak pincang selepas menggunakan hanya seorang tenaga import selepas dua pemain import ditamatkan kontrak dengan persetujuan bersama.

“Ketika ini Alaeddine menjalani latihan fasa pertama di bawah kendalian Fajr namun beliau sekadar menjalani latihan ringan memandangkan keadaan padang kurang sesuai digunakan untuk latihan,” katanya.