Dia merupakan antara lagenda bagi pasukan Barcelona dan Sepanyol. Dikatakan sebagai seorang pemain yang bagaikan memimpin orkestra yang cukup indah muziknya. Seorang pemain yang bukan sahaja dipandang tinggi oleh peminat, tetapi juga rakan-rakan pemainnya.
Andres Iniesta, pemain tengah Barcelona yang telah memukau hati ramai peminat bolasepak di seluruh dunia akhirnya meninggalkan kelab kesayangannya selepas begitu banyak trofi yang dimenanginya.
Tamat ceritanya dengan Barcelona, kini Iniesta mencari cabaran baru. Ada yang menyatakan dia akan ke Liga Perdana Inggeris dan ada yang menyatakan dia akan mengikut jejak langkah David Villa ke Amerika Syarikat.
Tetapi menurut laporan media Jepun, Andres Iniesta dikhabarkan bakal menyertai Lukas Podolski di Jepun.
Akhbar Jepun, Sports Hochi menyatakan Iniesta telah setuju dengan tawaran gaji dan syarat yang diberikan oleh kelab J-League, Vissel Kobe.
Ada spekulasi mengatakan bahawa kesahihan mengenai berita perpindahan Iniesta ke Vissel Kobe adalah kerana pemilik Vissel Kobe, Hiroshi Mikitani adalah pemilik syarikat e-dagang, Rakuten yang merupakan penaja utama Barcelona.
Jika Iniesta betul menyertai Vissel Kobe, dia akan menjadi rakan sepasukan Lukas Podolski dan pemain Thailand, Theerathon Bunmathan.
Setakat ini, masih tiada kenyataan rasmi dari pihak Vissel Kobe sendiri mengenai sebarang tawaran dari pihak mereka kepada Iniesta.