Malaysia Liga Super Malaysia

Ken Ilso tinggalkan Pulau Pinang, mahu kekal beraksi di Malaysia?

Pulau Pinang musim ini antara pasukan yang mengecewakan. Membawa masuk pemain-pemain yang bagus dan mempunyai pengalaman beraksi di Liga Super dan dibimbing oleh jurulatih berpengalaman seperti Zainal Abidin Hassan, Pulau Pinang diharapkan mampu merebut slot ke Liga Super.

Namun, nampaknya impian mereka tidak kesampaian setakat ini. Berada di tangga ke-8 Liga Premier dengan sekadar mencatat 3 kemenangan daripada 11 perlawanan.

Terbaru, mereka bakal kehilangan penyerang import utama mereka, Ken Ilso Larsen.

Penyerang Denmark itu telah menulis di akaun Twitter peribadinya menyatakan bahawa dia telah menghantar surat penamatan kontrak kepada Persatuan Bolasepak Pulau Pinang semalam.

Bekas penyerang Kedah itu nampaknya tidak melalui musim yang cukup membanggakan sepertimana ketika dia bersama Kedah pada musim lalu.

Setakat ini, Ilso sekadar menjaringkan 3 gol daripada 6 penampilan. Berbeza ketika bersama Kedah di mana dia menjaringkan 15 gol daripada 18 penampilan bersama Hijau Kuning.

Sebelum ke Asia Tenggara bersama Home United, Ken Ilso pernah beraksi di Liga Jerman dengan Fortuna Dusseldorf dan VFL Bochum.

Pada awal musim ini, Ken Ilso menjadi rebutan di antara PKNS dan Pulau Pinang. Selepas begitu lama spekulasi mengaitkannya dengan PKNS, Ken Ilso membuat kejutan apabila memilih untuk bersama Pulau Pinang di Liga Premier berbanding beraksi di Liga Super.

Namun, beberapa sumber dalaman memberi gambaran bahawa Ken berminat untuk kekal di Malaysia, tetapi hanya jika beliau menerima tawaran yang bagus daripada sebuah pasukan Liga Super. Ken dikatakan merindui pengalaman bermain untuk Kedah, namun skuad Hijau Kuning itu kini bakal mendapatkan bekas bintang JDT II, Paulo Rangel