Misi getir buat anak buah Bojan Hodak bagi saingan Piala AFC Bawah 19 tahun yang akan berlangsung pada 18 Oktober – 4 November 2018 di Indonesia.
Skuad bawah 19 tahun Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, China dan Tajikistan.
Rekod Malaysia dalam kejohanan ini adalah menjadi naib johan bagi kejohanan pada tahun 1959,1960 dan 1968. Arab Saudi pula pernah dua kali menjadi juara pada tahun 1986 dan 1992, sementara China pula merupakan juara pada tahun 1985.
Tajikistan juga bukan lawan mudah bagi Malaysia kerana pada tahun 2016, mereka berjaya mara ke suku akhir bagi kejohanan Piala AFC Bawah 19 tahun ini.
Tuan rumah, Indonesia diletakkan di dalam Kumpulan A bersama Qatar, UAE dan Chinese Taipei. Kumpulan B pula menempatkan jagoan Asia Tenggara Thailand bersama Jepun, Iraq dan Korea Utara. Sementara Kumpulan C pula melibatkan Vietnam, Australia, Korea Selatan dan Jordan.
Empat pasukan terbaik dalam kejohanan ini akan mewakili benua Asia di Piala Dunia bawah 20 tahun yang akan berlangsung di Poland tahun hadapan.