Sama seperti skuad kebangsaan Brazil, England juga telah mengumumkan 23 pemain dalam pasukan awal mereka untuk ke Piala Dunia 2018.
Gareth Southgate dilihat cukup yakin dengan skuad yang dimiliki, sehingga membuatkan beberapa pemain terpaksa diletakkan dalam senarai menunggu.
Berdasarkan pengumuman yang dibuat, berikut adalah 11 orang pemain yang langsung tidak tersenarai dalam senarai pasukan atau menunggu buat England.
Jack Wilshere
Jack Wilshere sebenarnya sudah cergas pada musim ini dan mula beraksi secara tetap bersama Arsenal. Malangnya, Southgate tidak menyenaraikannya untuk ke Russia, malah langsung tidak meletakkannya dalam senarai menunggu.
Jonjo Shelvey
Pemain Newcastle ini sebenarnya memiliki kemampuan yang diperlukan oleh skuad England, iaitu memberikan hantaran yang memerangkap lawan dari tengah padang. Kebolehannya ini sudah sering dipamerkan pada musim ini dan sangat berguna untuk penyerang seperti Jamie Vardy dan Harry Kane.
Adam Lallana
Adam Lallana tidak dapat banyak beraksi kerana masalah kecederaan yang dihadapi pada musim ini. Bagaimanapun, dia diletakkan dalam senarai menunggu. Kemungkinan besar pengalamannya masih diperlukan Southgate, sekaligus ditempatkan dalam senarai itu.
Ryan Sessegnon
Pemain muda sensasi, Ryan Sessegnon, sudah menjaringkan 16 gol serta tujuh bantuan jaringan buat Fulham. Dia menjadi pemain yang ditunggu oleh ramai peminat bola sepak untuk disertakan ke dalam skuad England untuk Piala Dunia 2018. Malangnya, ia tidak berlaku.
Tom Heaton
Sama seperti Lallana, Tom Heaton juga jarang beraksi pada musim ini kerana kecederaan sehingga dia tidak mampu menyaingi seorang lagi penjaga gol Burnley, Nick Pope. Heaton adalah salah seorang penjaga gol terbaik di Liga Perdana Inggeris dan telah mencatatkan statistik 10 perlawanan tidak dibolosi pada musim lalu.
James Tarkowski
Salah seorang pemain yang melakukan kejutan selain Sessegnon di bumi England. Kemampuan bertahan Tarkowski menjadi sebab mengapa Burnley dapat mengakhiri musim ini di tangga ketujuh liga.
Michael Keane
Michael Keane tampak lebih bergelut dengan isu kecederaan pada musim ini dan jika tidak, dia mungkin dapat bermain dengan lebih baik. Salah seorang pertahanan muda yang berpotensi di Liga Perdana Inggeris, terutama ketika bersama Burnley.
Alex Oxlade-Chamberlain
Alex OXlade-Chamberlain mencatat peningkatan di bawah bimbingan Jurgen Klopp, apabila sering diletakkan di bahagian tengah berbanding bek sayap. Malangnya, kecederaan yang dialami telah memaksanya digugurkan daripada skuad untuk ke Russia.
Joe Gomez
Jika tidak ditimpa kecederaan, Joe Gomez mungkin akan menyertai skuad England berbanding rakan sepasukannya, Trent Alexander-Arnold. Gomez mempamerkan aksi meyakinkan sebelum cedera dan dia dilihat sesuai dengan corak permainan Southgate.
Jamaal Lascelles
Kapten Newcastle ini menjalani kempen yang baik pada musim ini. Bekas pemain akademi Chelsea ini sudah mula memasuki radar beberapa pasukan lain seperti Manchester United. Jamaal Lascelles merupakan salah seorang nadi utama Rafael Benitez.
Theo Walcott
Dia menyinar sebentar dengan dua gol dan tiga bantuan jaringan setelah berhijrah ke Everton, namun prestasinya menurun menjelang baki saingan. Berbekalkan tujuh gol serta lapan bantuan jaringan, Walcott dilihat lebih layak diletakkan dalam senarai menunggu berbanding Lallana.