Liga Super Malaysia

Issey Nakajima dan Austin Amutu tidak dapat beraksi menentang Terengganu malam ini

Dengan kehadiran dua pemain import baru, Issey Nakajima-Farran dan Austin Amutu, pastinya skuad Pahang sudah bersedia untuk mencuba sedaya upaya bagi merebut gelaran juara Liga Super.

Namun begitu, nampaknya hasrat peminat Pahang menyaksikan kelibat dua pemain import ini dalam perlawanan bertemu Terengganu malam ini di Stadium Darul Makmur tidak kesampaian.

Dua pemain import baru itu dikhabarkan tidak akan dapat bermain dalam perlawanan menentang Terengganu kerana kedua-dua pemain tersebut lambat didaftarkan. Oleh itu, Issey dan Amutu hanya boleh mula beraksi dalam perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada hari Selasa depan.

Issey Nakajima menyertai Pahang selepas mengambil masa membuat pertimbangan setelah dilepaskan oleh Terengganu. Issey dibawa masuk bagi mengisi slot Asia bagi menggantikan tempat pemain Kemboja, Chan Vathanaka.

Bekas penyerang import Kelantan, Austin Amutu pula bakal mengisi tempat Forkey Doe yang terpaksa dilepaskan ekoran kecederaan walaupun telah menjadi sumber gol utama buat Pahang.

Pahang kini berada di tempat ketiga liga dengan 18 mata selepas mencatat 5 kemenangan daripada 9 perlawanan. Setakat ini, Pahang setakat ini merupakan pasukan ketiga terbanyak menjaringkan gol apabila berjaya mencatat 19 jaringan. JDT dan Kedah terikat sebagai pasukan yang paling banyak jaringan dengan 20 gol masing-masing.