Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, nampaknya barisan penjaga gol Kuala Lumpur berdepan masalah tidak konsisten. Ada masa mereka hebat, dan selepas itu melakukan kesilapan mudah.
Sebelum ini, nama bekas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat telah dikaitkan akan menyertai Kuala Lumpur. Namun, apabila jendela perpindahan dibuka, Khairul Fahmi nampaknya berpindah ke Melaka United.
Tapi nampaknya ada seorang lagi bekas penjaga gol kebangsaan yang mungkin menjadi pilihan Kuala Lumpur untuk memberikan saingan kepada Kamarul Effandi, Solehyn Mamat dan Khatul Anuar.
Bekas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli dikatakan telah mula berlatih bersama Kuala Lumpur selepas pulih dari masalah kesihatan yang dialaminya.
Sharbinee yang terpaksa berehat lama sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk kembali beraksi dalam kancah bolasepak Malaysia.
“Selepas menjalani pemulihan kira-kira empat atau lima bulan lalu, Alhamdulillah saya rasakan keadaan fizikal sudah kembali seperti biasa,” kata Sharbinee seperti dilaporkan Berita Harian.
“Saya sudah kembali berlatih sejak Januari lalu. Ketika ini saya sudah bersedia dan sebab itu saya mahu mencari pasukan. Jadi saya akan manfaatkan peluang yang ada dan berharap dapat kembali,” tambahnya lagi.
Musim ini kesemua penjaga gol Kuala Lumpur dilihat kurang konsisten. Beberapa kesilapan mudah, terutamanya ketika beraksi di tempat lawan telah menyebabkan skuad The City Boys gagal menempatkan diri di posisi yang lebih baik di Liga Super.
Terbaru, Solehyn Mamat telah melakukan kesilapan apabila tersilap mengagak bola ketika melakukan sepakan yang memberikan kemenangan kepada Kelantan di Kota Bharu.