Malaysia Berita

Keputusan Undian Piala AFF Suzuki: Reaksi dari wakil-wakil Football Tribe di Asia Tenggara

Undian untuk peringkat kumpulan Piala AFF 2018 baru sahaja dilangsungkan pada hari Rabu lepas. Seperti yang diketahui, Malaysia berjaya mengelak kumpulan maut apabila dimasukkan ke dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Vietnam, Cambodia, dan Laos. Manakala Kumpulan B pula mengandungi Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura dan juga Timor Leste/Brunei

Untuk berbicara mengenai undian tersebut, Football Tribe Malaysia serta rakan-rakan dari Asia Tenggara telah mengumpulkan ketua editor daripada setiap edisi untuk mendapatkan maklum balas mereka. Berikut adalah pendapat yang diberikan.

Keeshaanan Sundaresan – Football Tribe Malaysia

Malaysia harus sedar bahawa Myanmar dan Kemboja adalah pasukan yang kuat, jadi mereka harus berwaspada untuk mengelakkan episod hitam edisi 2016 berulang. Vietnam tentunya akan menjadi lawan paling sukar. Apa yang memberikan mereka kelebihan adalah mempunyai tempoh selama enam bulan untuk melakukan persiapan dan pengendali, Tan Cheng Hoe, dilihat bakal menggunakan banyak pemain muda, terutamanya daripada skuad B-23 yang melayakkan diri ke suku akhir Piala AFC.

Trung Nguyen – Football Tribe Vietnam

Malaysia pastinya akan menjadi lawan yang menarik buat Vietnam kerana masih ramai penyokong mereka masih belum dapat melupakan kekalahan di separuh akhir edisi 2014 ketika di laman sendiri. Selain Malaysia, Myanmar juga akan menjadi lawan sukar apabila melihat kepada corak permainan keras yang ditampilkan. Laos dan Kemboja juga berpeluang untuk menyekat kemaraan Vietnam kerana kedua-dua pasukan itu berkembang dengan baik sejak beberapa tahun terakhir.

Maruak Tanniyon – Football Tribe Thailand

Thailand akan menghadapi aksi yang sukar berdepan Indonesia dan Filipina. Berbekalkan pemain naturalisasi untuk membantu mereka ke Piala Asia 2019, Filipina akan hadir dengan mentaliti yang kuat sementara Indonesia, walaupun melalui hukuman FIFA sebelum ini, mampu melakar kejutan selepas layak ke final edisi 2016. Piala AFF 2018 bakal menjadi medan penentuan buat Milovan Rajevac dalam mengendalikan pasukannya bergelar juara.

Isidorus Rio – Football Tribe Indonesia

Piala AFF 2018 akan menjadi kejohanan yang sukar buat Indonesia. Pertama, ia disebabkan masa depan Luis Milla yang masih belum jelas. Kontraknya akan tamat selepas Sukan Asia 2018 dan tentunya ia akan mempengaruhi aksi AFF pada November.

Namun, Indonesia perlu kekal yakin kerana kempen kali ini disertai oleh kebanyakan pemain naturalisasi seperti Ilija Spasojevic, Esteban Vizcarra dan Mohammadou Alhadji. Indonesia sudah tentu berpeluang untuk melakar kejutan seperti skuad naturalisasi Singapura pada 2004 yang lalu.