Asian Cup

Thailand mahu elak jumpa Jepun dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia 2019

Boleh dikatakan sebagai pasukan terkuat di Asia Tenggara, kini Thailand mahu cuba bersaing dengan gergasi-gergasi di Asia.

Setelah berjaya layak ke Piala Asia pada tahun hadapan, Thailand mula merancang untuk melepasi peringkat kumpulan dan cuba mara sejauh yang mereka boleh.

Itulah harapan pemain tengah Thailand, Thitipan Puangchan mengenai Thailand dan kejohanan Piala Asia yang akan berlangsung pada tahun hadapan di Emiriah Arab Bersatu.

Bercakap kepada AFC, Thitipan berharap mereka dapat mengelak diundi bersama gergasi-gergasi Asia seawal peringkat kumpulan.

“Kami bertuah kerana diletakkan di Balang 2 dalam undian, jadi kami boleh mengelak beberapa pasukan kuat dalam kejohanan. Ini boleh memberikan kami kelebihan untuk layak ke pusingan kedua.

“Semua pasukan dalam undian kuat tetapi jika kami melakukan persiapan dengan baik, kami boleh bersaing dengan mana-mana pasukan. Kalau boleh pilih, kami mahu mengelak bertemu Jepun dan Korea Selatan di peringkat kumpulan.”

Selain itu, pemain tengah Bangkok Glass itu juga merasakan mereka tidak akan berdepan masalah jika diundi bersama pasukan daripada Asia Tenggara.

“Berada di Balang 2 memberikan kami peluang untuk bertemu dua pasukan daripada Asia Tenggara (Vietnam dan Filipina) dan rekod kami telah membuktikan bahawa kami boleh menewaskan mereka.

Itu boleh menjadi peluang terbaik untuk kami meraih mata dan kami juga berpeluang untuk melihat aksi mereka jika kami berdepan mereka di saingan Piala AFF nanti.”

Thailand kita sudah sedia maklum akan kehebatan mereka di peringkat Asia Tenggara, namun pasukan kebangsaan dan kelab mereka sukar bersaing dengan pasukan-pasuka gergasi Asia. Mungkinkah skuad Gajah Perang ini akan berjaya meningkatkan prestasi mereka di Kejohanan Piala Asia tahun hadapan dan seterusnya terus meninggalkan pasukan Asia Tenggara lain termasuk Malaysia lebih jauh?