Sejak berhijrah ke Pahang selepas program Harimau Muda dibubarkan, R. Kogileswaran sudah menjadi salah seorang watak penting dalam pasukan malah cukup disukai oleh para penyokong.
Apabila pengurusan Pahang bertindak drastik dengan menggugurkan sebahagian besar pemain senior dan membawa masuk muka-muka baharu terutamanya pemain muda, Kogileswaran antara pemain yang akan menjayakan rancangan meremajakan Pahang yang membolehkan pemain-pemain baharu mewakili pasukan itu sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Walaupun perancangan secara rapi itu akhirnya memakan diri apabila Pahang hampir-hampir tersingkir dari Liga Super, Kogileswaran tetap terhutang dengan peluang yang diberikan kepadanya terutamanya jurulatihnya ketika ini, Dollah Salleh.
Penyerang berusia 19 tahun itu amat berterima kasih kepada Dollah yang telah banyak membantu meningkatkan prestasinya musim ini.
Ini termasuklah aksi cemerlangnya yang membantu Patrick Cruz menjaringkan hatrik menentang JDT dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA baru-baru ini.
“Jurulatih memang banyak memberikan semangat. Saya masih muda, tapi dia tetap meletakkan kepercayaan kepada saya. Sebab itu saya akan terus memberikan yang terbaik buat Pahang jika diturunkan beraksi,” katanya kepada Stadium Astro.
Mengulas lanjut, Kogi turut memuji kesungguhan rakan sepasukan apabila berdepan pasukan sehebat JDT.
Katanya, bukan mudah untuk menewaskan JDT di laman mereka sendiri namun kata-kata Dollah menjadi pemangkin semangat para pemain ketika itu.
“Ketika separuh masa, Dollah memberikan kata-kata semangat kepada kami dan disebabkan inilah Pahang meraih kemenangan,” katanya.