Malaysia Piala FA Malaysia

Rajagobal bimbang kebangkitan Perak

Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal bimbang Perak akan melakukan kebangkitan pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA yang akan berlangsung pada malam ini.

Katanya, Perak akan memburu jaringan awal selepas tumpas 2-1 dalam aksi suku akhir pertama dan pemain perlu berwaspada dengan ancaman pihak lawan dan tidak memandang mudah cabaran mereka.

“Kami sedar Perak akan bermain dengan agresif untuk mendapatkan jaringan lebih cepat. Kami juga tahu akan situasi yang berlaku dalam aksi sebelum ini.

“Saya mahu skuad PKNS mengikut perancangan dan menjalankan tugas dengan baik di samping sedar akan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada Stadium Astro.

Dalam pada itu, Rajagobal tidak mahu terlalu cepat menggunakan khidmat dua tonggak pertahanannya, Zac Anderson dan Qayyum Marjoni Sabil yang baharu sahaja pulih daripada kecederaan.

Kedua-dua pemain itu ketika ini sudah kembali menjalani latihan selepas  beberapa minggu tidak beraksi bersama pasukan kerana kecederaan lutut.

Katanya, melihatkan Anderson dan Qayyum yang pulih daripada kecederaan sebenarnya merupakan satu perkembangan positif, namun bekas jurulatih negara itu mahu memastikan mereka sudah bersedia sepenuhnya sebelum dibenarkan untuk bermain dalam perlawanan.

“Kita masih berdepan dengan banyak perlawanan yang penting dan seboleh-bolehnya tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain-pemain kerana jika mereka kembali mengalami kecederaan, kita akan kehilangan khidmat kedua-dua pemain ini sekali lagi,” katanya.