Malaysia Liga Super Malaysia

Hilang khidmat Halim Zainal dan Willian Pacheco, jurulatih Selangor tidak bimbang

Selangor bakal berhadapan dengan cabaran yang cukup getir apabila kehilangan dua pemain utama, Halim Zainal dan Willian Pacheco pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Kuala Lumpur, Sabtu ini akibat penggantungan.

Namun jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir dilihat tidak terlalu bimbang dengan ketiadaan dua pemain tersebut memandangkan perkara yang sama pernah terjadi semasa aksi suku akhir pertama awal bulan lalu.

“Dalam aksi pertama 7 April lalu, Selangor beraksi tanpa kelibat kapten pasukan, Razman Roslan dan Azamuddin Akil yang mengalami kecederaan.

“Kali ini situasinya sama tapi melibatkan pemain berbeza apabila Halim dan Pacheco terpaksa diketepikan kerana digantung perlawanan.

“Kad kuning dalam pusingan kelayakan akan dibawa ke peringkat suku akhir. Jadi sebab itu Halim dan Pacheco tidak dapat bermain,” katanya kepada Stadium Astro.

Mengulas lanjut, Nazliazmi menegaskan tiada istilah menang mudah dalam bola sepak meskipun pasukannya mempunyai kelebihan tiga gol kerana beliau menjangkakan Kuala Lumpur pasti akan bangkit menebus kekecewaan terhadap kekalahan lalu.

“Kami tidak boleh terlalu yakin kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Kedudukan 3-0 belum menjamin apa-apa buat kami.

“Tetapi berkat kekuatan, keyakinan dan semangat yang kami tunjukkan sebelum ini, insya-Allah tidak mustahil boleh mengatasi Kuala Lumpur,” katanya.

Jika mara, Selangor akan bertemu sama ada Perak atau PKNS FC dalam saingan separuh akhir Piala FA 2018.