Syafiq Ahmad, Ariff Farhan Isa dan Amirul Hisyam Awang Kechik adalah tiga pemain yang berada dalam pertimbangan jurulatih Malaysia Bawah-23 (B-23) Datuk Ong Kim Swee untuk diserap masuk dalam pasukan Sukan Asia 2018 di Jakarta, Ogos ini.
Katanya, beliau juga akan menggunakan khidmat pemain lebih umur namun segala-galanya bergantung kepada prestasi dan kecergasan pemain.
“Kami akan menghantar pasukan terbaik ke sana dengan mendapatkan khidmat tiga pemain lebih umur, tapi ini bergantung kepada situasi yang dihadapi sebelum Sukan Asia bermula. Buat masa ini saya belum membuat pilihan pemain senior.
“Saya tak nampak kami akan melakukan banyak perubahan ke atas pemain yang beraksi dalam Kejohanan AFC B-23 di China sebelum ini namun saya tak nafikan ada beberapa pemain seperti Syafiq Ahmad, Ariff Farhan Isa dan Amirul Hisyam Awang Kechik yang menunjukkan prestasi yang baik untuk dipertimbangkan,” katanya kepada Berita Harian.
Malaysia B-23 sebelum ini mencipta sejarah apabila layak ke suku akhir buat pertama kali dalam Kejohanan AFC B-23 selepas mengejutkan pasukan Arab Saudi dengan kemenangan 1-0 di peringkat kumpulan.
Berdasarkan prestasi di China, sudah tentu ramai yang menaruh harapan tinggi terhadap pasukan kendalian Ong Kim Swee namun beliau sedar kekangan masa menjadi halangan untuk membentuk pasukan terbaiknya pada temasya itu nanti.
“Saya tak boleh lakukan perubahan besar kerana pemain sedia ada mempunyai persefahaman yang baik. Cuma mungkin para pemain tidak sempat untuk mengadakan perlawanan percubaan sebelum ke Sukan Asia.
“Saya akan memanggil semua pemain pada 1 atau 2 Ogos ini, lebih kurang dua minggu sebelum temasya dan saya harap ia mencukupi untuk membuat persiapan,” katanya.
Tiga pemain ini dalam radar Ong Kim Swee untuk Sukan Asia 2018
Oleh Omar Zin, April 17, 2018 11:00